Tak sanggup biarkan rumah, tanah RM600,000 'hilang' ditelan ombak
KUALA NERUS - Seorang pesara tidak pernah membayangkan kediaman dibina hasil wang persaraannya bernilai RM600,000 di Kampung Tanjung, Batu Rakit, di sini mungkin 'hilang' ditelan ombak.
Mohd Yazit Idris, 66, yang berasal dari Puchong, Selangor berkata, rumah dibina di atas tanah itu kini menunggu masa roboh selepas dilanda ombak besar minggu lalu.
Menurutnya, situasi buruk yang berlaku itu mungkin akan meleburkan impiannya untuk menghabiskan sisa usia dengan tenang di kediaman tepi pantai.
"Saya siap bina rumah ini pada 2018 sebagai hadiah kepada arwah isteri, Siti Rashiddah Mohd Yunos. Sebaik dapat wang pencen, saya terus pilih untuk beli tanah dan bina rumah di sini.
"Malangnya, isteri saya hanya sempat tinggal di sini dalam setahun sahaja sebelum meninggal dunia pada 2019 akibat kanser usus.
"Saya tak pernah terfikir masalah hakisan di kawasan ini semakin teruk sehingga sebahagian tanah telah runtuh dan rumah ini juga berisiko ditelan ombak pada bila-bila masa," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Khamis.
Menurut Mohd Yazit, buat sementara waktu ini dia bersama anak, Nur Shahera, 32, dan menantu, Nor Qusairi Noor Rashid, 32, mengambil inisiatif menambak sendiri kawasan kediaman itu menggunakan guni pasir yang setiap satunya seberat 1 tan.
Katanya, setakat ini sebanyak RM8,000 telah dibelanjakan untuk membuat binaan sementara bagi menghalang ombak besar membadai kediamannya itu.
"Saya beli guni besar untuk muatkan pasir, selepas itu ia akan disusun disepanjang kawasan hakisan. Pasir-pasir itu saya kumpul dari kawasan pantai di sini.
"Kalau saya seorang buat kerja ni mungkin dalam lima jam baru siap kumpul pasir dalam guni, kalau dibantu anak dan menantu dalam tiga jam boleh siap.
"Untuk hari ini sahaja kita sasar siapkan dalam tiga guni besar pasir untuk diletakkan di kawasan ini," katanya.
Mohd Yazit berkata, sebelum ini jarak antara kediaman dengan kawasan pantai sejauh kira-kira 200 meter.
"Sebelum ini, jarak antara rumah dengan pantai sangat jauh malah terdapat padang futsal antara rumah dengan laut.
"Sebab itu saya berani beli tanah dan buat rumah di sini. Kalaulah saya bayangkan situasi buruk ini akan berlaku sudah tentu saya tidak akan memutuskan untuk bina rumah ini.
"Tujuan saya beli rumah ini sebab sudah menjadi impian saya sejak kecil duduk tepi pantai. Saya mahu cari ketenangan selepas bersara, sebaliknya apa yang berlaku ini tidak pernah diduga,"ujarnya.
Sementara itu, Nur Shahera berkata, dia berharap ada tindakan daripada pihak kerajaan bagi membantu mengatasi masalah hakisan pantai itu daripada semakin buruk.
"Kalau boleh, kita harap pihak-pihak terlibat dapat tampil untuk menghulurkan bantuan untuk sementara waktu ini, sebelum menunggu tempoh musim Monsun Timur Laut (MTL) berakhir pada Mac depan.
"Sebelum ini kami diberitahu kerajaan akan bertindak selepas habis musim monsun, namun, sementara menunggu tempoh itu kami tak sanggup untuk biarkan rumah ini tenggelam ke dalam laut begitu sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!