Lelaki dilarikan, dipukul rakan kerana gagal bayar hutang RM37,000

Gara-gara tidak menjelaskan hutang, seorang lelaki cedera dipukul setelah dilarikan rakannya ketika sedang makan malam di sebuah kedai makan di kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai, 2 Januari lalu. Gambar hiasan
Gara-gara tidak menjelaskan hutang, seorang lelaki cedera dipukul setelah dilarikan rakannya ketika sedang makan malam di sebuah kedai makan di kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai, 2 Januari lalu. Gambar hiasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Gara-gara tidak menjelaskan hutang, seorang lelaki cedera dipukul setelah dilarikan rakannya ketika sedang makan malam di sebuah kedai makan di kawasan Taman Nusa Bestari, Skudai, 2 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, mangsa yang berusia 34 tahun dan bekerja sebagai juruacara itu, dipercayai berhutang sebanyak RM37,000 dengan suspek untuk kegunaan peribadi.

"Pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan mangsa daripada teman wanitanya yang berusia 29 tahun berhubung kejadian.

"Dalam laporan tersebut, wanita berkenaan berkata, ketika dia bersama mangsa, mereka didatangi sekumpulan suspek lelaki yang bertindak memukul dan kemudiannya melarikan mangsa dengan sebuah kereta.

"Bagaimanapun, kesemua lima suspek itu ditahan sekitar jam 1.20 pagi, keesokan harinya di lokasi sekitar Taman Nusa Bestari, sama dengan lokasi mangsa ditemui," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, pada Khamis.

Katanya dalam tempoh kurang lima jam, mangsa berjaya diselamatkan dan lima lelaki tempatan berumur antara 20 hingga 29 tahun ditahan.

Tambah Kumarasan, hasil semakan mendapati salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Ketika tangkapan dibuat, polis turut merampas dua kereta mewah dan sebatang objek keras.

"Empat daripada lima suspek kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis di bawah Seksyen 342 kanun keseksaan bagi pengurungan salah, Seksyen 324 kanun keseksaan bagi kesalahan menyebabkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 323 kanun keseksaan bagi kesalahan menyebabkan kecederaan.

"Dalam masa sama seorang lagi suspek tidak dituduh dan akan dijadikan saksi pendakwaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!