Yew Sin-Ee Yi cemerlang ke suku akhir
BEREGU profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meneruskan momentum positif apabila berjaya mara ke pusingan suku akhir Terbuka Malaysia pada Khamis.
Kejayaan itu diraih Yew Sin-Ee Yi selepas menewaskan pasangan Korea Selatan, Jin Yong-Kang Min Hyuk dalam aksi pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Namun, kemenangan diraih wakil negara itu bukan mudah apabila ditentang sengit oleh pasangan Korea yang baru sahaja digandingkan tersebut.
Yew Sin-Ee Yi diberikan saingan walaupun berpeluang menamatkan set pertama dengan kelebihan empat mata sebelum Yong-Min Hyuk berjaya menyamakan mata 20-20.
Namun, pasangan negara yang berada di ranking ke-24 dunia itu lebih tenang untuk memenangi set pertama 23-21 sebelum gandingan Korea itu bangkit pada set kedua dengan kemenangan 16-21 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Berbekalkan sorakan padu penyokong, Yew Sin-Ee Yi cemerlang menunjukkan jalan keluar kepada Yong-Min Hyuk dengan kemenangan 21-18.
Sebelum ini, mereka yang tidak diletakkan sebagai pilihan mencipta kejutan menundukkan pasangan Indonesia di ranking keempat dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian pada pusingan pertama.
Mereka dijadualkan bertemu sama ada pasangan senegara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong atau pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di suku akhir pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!