Lelaki didakwa cederakan teman wanita dengan minyak panas

Kumarasan
Kumarasan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang bekas pekerja kilang ditahan kerana mencederakan teman wanitanya dengan menyimbah minyak panas dan memukul menggunakan wayar pengecas telefon pada 21 Disember 2024 lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa, yang berusia 29 tahun berhubung kejadian berkenaan yang didakwa berlaku pada 27 Disember 2024 lalu.

Menurutnya mangsa mendakwa dikasari teman lelaki yang dikenalinya sejak setahun lalu pada 21 Disember lalu sekitar jam 3.30 petang ketika berada di sebuah rumah di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Iskandar Puteri bergerak ke lokasi kejadian dan membuat tangkapan terhadap suspek yang berusia 24 tahun.

"Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah. Suspek juga dipercayai merupakan pengedar dadah secara kecil-kecilan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri pada Khamis.

Selain itu, Kumarasan berkata, polis turut merampas beberapa barangan, termasuk telefon bimbit, seutas wayar pengecas warna putih dan beg galas warna hitam, selain menemukan dua peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 65.7 gram dan sepeket ganja seberat 15.9 gram.

Tambahnya, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 3 Januari lalu terhadap tiga pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama.

Artikel Berkaitan:

"Sebutan semula kes telah ditetapkan 4 Mac depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!