74 kanak-kanak di Gaza terbunuh pada minggu pertama 2025 - UNICEF

Serangan 'waktu malam' oleh Israel di kawasan seperti Bandaraya Gaza, Khan Younis dan Al Mawasi yang dianggap sebagai 'zon selamat' telah meragut nyawa kanak-kanak.
Serangan 'waktu malam' oleh Israel di kawasan seperti Bandaraya Gaza, Khan Younis dan Al Mawasi yang dianggap sebagai 'zon selamat' telah meragut nyawa kanak-kanak.
A
A
A

HAMILTON - Sekurang-kurangnya 74 kanak-kanak terbunuh dalam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza pada minggu pertama 2025, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).

Serangan 'waktu malam' oleh Israel di kawasan seperti Bandaraya Gaza, Khan Younis dan Al Mawasi yang dianggap sebagai 'zon selamat' telah meragut nyawa kanak-kanak, dengan UNICEF menyatakan bahawa serangan terbaru pada Rabu dilaporkan mengorbankan lima kanak-kanak di Al Mawasi.

"Bagi kanak-kanak di Gaza, tahun baharu membawa lebih banyak kematian dan penderitaan akibat serangan, kekurangan, serta peningkatan pendedahan kepada cuaca sejuk," kata Pengarah Eksekutif Catherine Russell dalam satu kenyataan, sambil menambah, gencatan senjata sudah lama tertangguh.

Menonjolkan krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza, agensi itu menyatakan bahawa lebih 1 juta kanak-kanak tinggal di khemah sementara, dengan banyak keluarga telah kehilangan tempat tinggal selama berbulan-bulan.

"Sejak 26 Disember, lapan bayi dan kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat hipotermia-ancaman utama kepada kanak-kanak yang tidak dapat mengawal suhu badan mereka," katanya.

UNICEF turut menyatakan bahawa kemusnahan infrastruktur awam serta hospital yang sudah sesak memburukkan lagi krisis, termasuk penutupan Hospital Kamal Adwan, satu-satunya hospital kanak-kanak di utara Gaza, selepas serangan Israel bulan lepas.

"UNICEF telah lama memberi amaran bahawa tempat perlindungan yang tidak mencukupi, kekurangan akses kepada pemakanan dan penjagaan kesihatan, situasi kebersihan yang teruk, dan kini cuaca musim sejuk meletakkan nyawa semua kanak-kanak di Gaza dalam risiko," kata Russell.

UNICEF menggesa serangan terhadap orang awam dihentikan dan bantuan menyelamatkan nyawa segera disampaikan kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Agensi itu seterusnya menekankan kepentingan penghantaran bantuan dan bekalan untuk memastikan kelangsungan hidup kanak-kanak di Gaza.

Beliau yang menyeru tindakan segera untuk meningkatkan keselamatan bagi memastikan pekerja bantuan dapat menyampaikan bekalan kepada keluarga dengan selamat, berkata: "Keluarga memerlukan pengakhiran kepada penderitaan dan kesedihan yang tidak dapat dibayangkan ini." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!