Remaja lemas ketika mandi di Lata Kolam Air Deru Ecopark
BESUT - Seorang remaja lemas ketika mandi-manda di Lata Kolam Air Deru Ecopark di sini dalam kejadian jam 3.30 petang tadi.
Mangsa, Wan Amirul Nain Wan Abdul, 18, dikatakan mandi di tebing sungai dan beralih ke kawasan lebih dalam sebelum lemas.
Berdasarkan maklumat awal, rakan-rakannya yang berada di lokasi itu cuba untuk membantu namun gagal setelah mangsa hilang dibawa arus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5.07 petang tadi di dasar sungai.
"Mayat mangsa dikesan kira-kira empat meter dari lokasi dia dikatakan lemas oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
"Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Terdahulu, mangsa bersama 28 lagi rakan yang datang dari Kelantan mendaftar masuk ke lokasi itu pada jam 2.30 petang.
Mereka juga dikatakan telah dinasihatkan pengusaha chalet di situ supaya tidak mandi-manda di kawasan berkenaan memandangkan keadaan arus sungai yang deras disebabkan hujan pada bahagian hulu sungai pagi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!