Operasi tangkap anjing ikut SOP - MBSP

Goon Hooi (tengah) ketika ditemui pemberita di paun simpaman haiwan di Permatang Tinggi, pada Khamis.
Goon Hooi (tengah) ketika ditemui pemberita di paun simpaman haiwan di Permatang Tinggi, pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiada elemen kekejaman, kekerasan dan penganiayaan sepanjang proses tangkapan anjing liar yang dilakukan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam operasi dilakukan di Taman Keenways, di sini pada Rabu.

Sebaliknya, Ahli Majlis, Cheen Goon Hooi berkata, operasi menangkap anjing liar yang dijalankan oleh petugas MBSP itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, pasukan tangkapan MBSP terlatih telah menggunakan kaedah pelali (anaesthetic) yang dibenarkan dan selaras dengan SOP Penangkapan dan Pelupusan Anjing di kawasan PBT, Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan.

"Mengikut peruntukan berkenaan anjing hendaklah ditangkap menggunakan kaedah-kaedah seperti 'Tranquilizer Gun' iaitu penggunaan pistol pelali yang hanya dibenarkan setelah mendapat kebenaran daripada pihak-pihak yang berkenaan.

"Kaedah-kaedah tersebut turut seiring dengan peruntukan yang terkandung dalam Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Kod Amalan Kebajikan Haiwan Aktiviti Kawalan Haiwan Terbiar Serta Pengurusan Tempat Kurungan & Perlindungan Haiwan," katanya pada sidang akhbar di Permatang Tinggi, di sini pada Khamis.

Terdahulu tular beberapa video di laman sosial yang mendakwa kaedah menangkap anjing liar dilakukan oleh petugas MBSP dikatakan kejam dan tidak perikemanusiaan hingga mengakibatkan haiwan itu berdarah.

Mengulas lanjut, Goon Hooi berkata, ubat pelali digunakan untuk menangkap sekiranya haiwan didapati agresif dengan kebenaran dan pemantauan Jabatan Veterinar atau doktor veterinar berdaftar.

Katanya, setiap penggunaan ubat pelali berkenaan akan dipantau sepenuhnya oleh doktor veterinar berdaftar MBSP mengikut perkadaran yang sesuai supaya tidak mendatangkan kesan sampingan kepada haiwan.

Artikel Berkaitan:

"Ingin ditegaskan tiada elemen kekejaman, kekerasan dan penganiayaan sepanjang proses tangkapan sehinggalah ke pengangkutan.

"Kesemua anjing telah selamat dihantar untuk transit di paun simpanan haiwan sebaik sahaja operasi tamat," katanya lagi.

Susulan operasi tangkapan tersebut, Goon Hooi berkata, semua anjing yang telah dibius telah sedar sepenuhnya dan dalam keadaan sihat, baik dan bebas daripada kecederaan.

Katanya, MBSP akan menempatkan haiwan tersebut ke Pusat Perlindungan Kekal SPCA selepas tujuh hari sekiranya tiada sesiapa menuntut anjing-anjing yang ditangkap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!