Sabah terbang ke JDT tanpa tiga tonggak utama
SABAH FC terpaksa melupakan khidmat tiga tonggak utama apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Sabtu ini.
Pengendali The Rhinos, Martin Stano berkata, kelab Kepulauan Borneo itu kehilangan kudrat Gabriel Peres, Telmo Castanheira dan Daniel Ting untuk berdepan anak buah Hector Bidoglio.
Begitupun Stano tidak panik sebaliknya telah menyediakan pelan permainan ampuh dalam menyaingi Harimau Selatan yang mempunyai rekod baik di laman sendiri.
“Kita meletakkan sasaran tinggi bertemu JDT Sabtu ini berikutan bertemu dengan pasukan terbaik dalam Liga Super. Saya tidak percaya bahawa keputusan seri atau kemenangan sudah cukup sebagai ukuran menentang JDT nanti.
“Perkara paling penting bagi saya adalah Sabah FC dapat mengekalkan prestasi semasanya dan terus kekal berada pada tahap maksimum. Apa yang penting pemain dapat menggalas tugas dengan baik serta menyumbang mata penting nanti,” katanya pada Khamis.
Sebagai rekod, Peres dikenakan penggantungan selepas menerima kad merah ketika berdepan Kuching City di Stadium Negeri, 4 Disember lalu.
Telmo dan Ting pula dikenakan penggantungan automatik selepas masing-masing mengumpul tiga kad kuning dalam perlawanan sebelum ini.
Selain itu, jelas Stano, Sabah perlu mengekalkan rentak kemenangan serta memastikan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan tersebut.
“Kami masih mempunyai tempoh beberapa hari dan akan menjalani sesi latihan sebelum menjelang perlawanan sebenar Sabtu ini.
“Jadi mungkin kami akan melakukan beberapa pelarasan posisi untuk mencorak strategi serta bersedia untuk mengejutkan pasukan lawan nanti,” ujarnya.
Mengenai kedua-dua perlawanan antara Piala Malaysia dan Liga Super, Stano menganggap kedua-dua kempen itu amat penting biarpun tempoh perlawanannya sangat singkat.
“Kita akan memberi tumpuan serta fokus kepada setiap perlawanan satu demi satu. Sekarang, fokus adalah sepenuhnya kepada perlawanan menentang JDT dalam Liga Super.
“Menjelang perlawanan separuh akhir Piala Malaysia nanti, kita juga akan memberi tumpuan sepenuhnya sekali gus berusaha untuk memperoleh keputusan baik dalam kedua-dua perlawanan ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!