Doktor keluar minum tinggalkan pesakit, pusat bersalin diperintah bayar RM6 juta
KLANG - Tindakan dua doktor pakar perbidanan, meninggalkan pesakit yang mengalami pendarahan kritikal dan berakhir dengan kematian mangsa, hanya kerana mahu keluar minum, mengundang padah apabila Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan pusat bersalin itu membayar RM6 juta kepada keluarga mendiang.
Hakim, Norliza Othman memutuskan demikian selepas mendapati, Dr M Shanmugam dan Dr A Ravi bersama jururawat, Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa serta Nessy Yasah bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan dan menyebabkan kematian mangsa ketika menerima rawatan.
Menerusi keputusan penghakiman yang dimuat naik dalam sistem kehakiman pada Khamis, Norliza berkata, ketika prosiding, mahkamah diberitahu bahawa M Punita melahirkan anak keduanya, mula mengalami pendarahan yang banyak selepas plasentanya dikeluarkan.
Menurutnya, pihak berkenaan memberi jaminan pesakit itu stabil, kemudian dua doktor itu keluar dari bilik bersalin dan meletakkan mendiang di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar.
Katanya, walaupun tidak mempunyai kelayakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun mereka ditugaskan memantau keadaan pesakit itu.
“Bagaimanapun, ibu mendiang mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak dan jururawat cuba menghentikannya dengan menggunakan kapas.
“Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dalam keadaan kritikal.
“Walaupun pembedahan kecemasan dan pemindahan darah dilakukan, tetapi Punita meninggal dunia kerana mengalami kehilangan darah dan pembekuan intravaskular atau DIVC,” katanya.
Hakim ini berkata, meskipun doktor itu mempunyai pengalaman luas dalam bidang perbidanan, tetapi mereka gagal mengambil kira komplikasi yang biasa dikaitkan dengan masalah bersalin seperti ‘eklampsia’ dan insiden plasenta yang membawa kepada pendarahan selepas bersalin (PPH).
Beliau turut menegur doktor itu kerana kerana tidak menghiraukan keadaan pesakitnya.
“Kejadian tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor mengambil tindakan pantas dengan menghantarnya ke HTAR selain memantau keadaan pesakit secara teliti,
“Bukannya meninggalkan pesakit dalam jagaan jururawat sementara Dr Ravi keluar minum.
"Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan kerana menyumbang kepada kematian ibu yang sihat," katanya.
Selepas memutuskan demikian, mahkamah menganugerahkan keluarga mangsa ganti rugi sebanyak RM5,993,936.
Ia melibatkan kos RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati; RM1 juta untuk setiap seorang bagi dua anak mangsa dan bayaran bagi setiap ibu bapanya (RM300,000).
Kos lain termasuk ganti rugi teruk oleh Dr Ravi (RM1.5 juta) sementara Dr Shanmugam (RM700,000) dan ganti rugi punitif daripada klinik (RM100,000).
Pada 9 Januari 2019, Punita yang ketika itu berusia 36 tahun, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Materniti dan Bersalin Shan milik Dr Shanmugam akibat PPH.
Dalam kes ini, keluarga mendiang diwakili peguam, K Renuka dari Tetuan V Samy Renu & Co.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!