Jurugambar serang dua pereka fesyen diberkas
PETALING JAYA - Polis memberkas seorang jurugambar yang disyaki menyerang dua pereka fesyen, Razman dan Razmi dalam kejadian di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel, di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya telah menerima dua laporan berkaitan kejadian itu pada jam 11 malam.
"Lelaki terbabit berjaya ditahan di tempat kejadian dan kita turut merampas sebuah kamera yang digunakan sebagai senjata di dalam kejadian itu.
"Punca kejadian dipercayai berkaitan isu peribadi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Shahrulnizam berkata, pihaknya turut membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
"Suspek telah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini, lelaki terbabit akan didakwa di mahkamah pada esok (Jumaat)," katanya.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.
"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditalian 03-79662222," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian jam 8.40 malam itu, kedua-duanya yang dikenali sebagai pereka fesyen duo, Razman Razmi yang juga pereka fesyen menghasilkan busana usahawan sensasi, Datuk Seri Vida untuk acara itu dipukul dengan kamera oleh jurugambar lelaki terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
Kedua-dua mangsa berusia 47 dan 53 tahun itu mengalami luka di pipi kemudian diberi rawatan kecemasan sebelum penganjur bertindak membuat laporan polis.
Difahamkan, insiden itu dipercayai berpunca daripada masalah peribadi di antara mereka.
Vida dilaporkan berkata, beliau amat terkejut dengan kejadian itu.
Katanya, Razman dan Razmi mengiringinya ketika berjalan di karpet merah sebelum jurugambar terbabit tiba-tiba menyerang pereka fesyen itu.
Vida mengakui beliau trauma melihat kejadian sebegitu di depan matanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!