World #QuranHour: UIAM sambut kerjasama strategik bersama WUIF
GOMBAK - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyambut baik peluang kerjasama strategik bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk menjayakan program tahunan, World #QuranHour bagi tahun 2025.
Rektor UIAM, Datuk Prof Emeritus Dr Osman Bakar berkata, usaha ini bertepatan dengan visi UIAM untuk mengangkat ilmu sebagai manifestasi tauhid yang mendasari falsafah pendidikan Islam.
“UIAM komited untuk memastikan program World #QuranHour mencapai tahap yang lebih cemerlang tahun ini, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di persada antarabangsa.
“Kami berdoa kepada ALLAH SWT semoga program tahun ini beroleh kejayaan besar dan dapat berkembang lebih luas ke seluruh pelosok dunia," katanya selepas menghadiri sesi pertemuan jalinkan kerjasama antara pihak UIAM dan WUIF di UIAM, Gombak, pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff; Pengarah Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP), Dr Harmi Taazim; Pengarah Pejabat Promosi dan Pengambilan Pelajar, Aisyah Ibrahim; Timbalan Pengarah (OCAP), Abdul Latif Abdul Rahman dan Penolong Khas kepada Rektor merangkap Penolong Profesor di Jabatan Pengajian Al-Quran dan Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Abdul Hamid Abu Sulayman, UIAM, Muhammad Adli Musa.
Tambah Osman, UIAM sebagai sebuah universiti Islam antarabangsa, memiliki kelebihan tersendiri yang mempunyai pelajar dan alumni dari lebih 100 negara.
UIAM adalah simbol antarabangsa dalam dunia Islam, dan World #QuranHour menjadi platform terbaik untuk menyerlahkan peranan universiti ini sebagai penggerak perubahan dan penyebar mesej al-Quran.
Sejak memegang jawatan sebagai Rektor pada September tahun lalu, Osman memberi penekanan terhadap konsep Epistemologi Tawhidiq, iaitu visi ilmu yang berpaksikan keesaan ALLAH SWT.
"Tauhid merupakan intipati al-Quran. Ini selari dengan falsafah UIAM bahawa semua ilmu berasal daripada ALLAH dan berkait rapat antara satu sama lain dalam harmoni.
“Falsafah ini akan memberi impak besar terhadap kurikulum pendidikan Islam di UIAM. Melalui program #QuranHour, falsafah ini dapat dimanifestasikan dalam konteks praktikal, menegaskan bahawa ilmu dan amal perlu berjalan seiring untuk memberi manfaat kepada umat Islam sejagat,” katanya.
World #QuranHour tahun ini bertemakan Penyatuan Ummah dengan berpandukan Surah al-Saff yang menyeru umat Islam menjadi pembantu agama ALLAH atau al-Hawariyyun.
“Kita semua adalah pembantu-pembantu Nabi Muhammad SAW, walaupun secara fizikal Baginda SAW tiada bersama kita, sunnahnya kekal hidup sepanjang zaman,” katanya.
Beliau turut mengajak alumni UIAM untuk memainkan peranan penting sebagai al-Hawariyyun dalam komuniti masing-masing. Isi kandungan Surah As-Saff memberikan pengajaran besar, terutamanya bagaimana pentingnya sokongan umat Islam kepada perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan agama ALLAH.
Sebagai sebuah universiti antarabangsa, Osman percaya UIAM mampu menjadi pusat penyebaran mesej al-Quran kepada lebih 20 peratus penduduk dunia yang terdiri daripada umat Islam.
"Para pelajar dan alumni UIAM datang dari lebih 100 negara dan mereka boleh memainkan peranan untuk membantu agama ALLAH di tempat masing-masing.
“Pihak UIAM bangga dapat memainkan peranan ini dan berharap World #QuranHour dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam masyarakat,” katanya.
Dengan kerjasama erat antara UIAM dan WUIF, program Quran Hour 2025 dijangka membawa impak besar, bukan sahaja dalam meningkatkan pemahaman terhadap al-Quran tetapi juga dalam mengukuhkan falsafah pendidikan Islam yang menjadi tunjang kepada pembentukan generasi cemerlang..
Sementara itu, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, UIAM mempunyai potensi besar untuk membawa World #QuranHour ke peringkat antarabangsa.
“UIAM sebagai pusat ilmu berteraskan Ilmu Wahyu mampu memainkan peranan penting dalam kajian dan penyelidikan untuk memperkayakan kandungan program QuranHour. Kami menyarankan UIAM menubuhkan unit khas bagi mengendalikan program berimpak tinggi ini,” katanya.
Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail, turut menyampaikan tadabbur Surah al-Saff yang menjadi surah pilihan bagi kempen #QuranHour tahun ini dalam sesi perjumpaan tersebut.
Dengan sinergi antara UIAM dan WUIF, World #QuranHour 2025 dijangka membawa impak besar, bukan sahaja dalam meningkatkan pemahaman terhadap al-Quran tetapi juga dalam mengukuhkan falsafah pendidikan Islam untuk membentuk generasi cemerlang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!