Laporan kimia, bedah siasat, Miros tidak tersedia semasa hari pendakwaan
IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh pada Khamis diberitahu, pendakwaan terhadap Deputi Superintenden Mohd Nazri Abdul Razak, 46, pada 18 Disember 2023 lalu dilakukan tanpa laporan kimia dan bedah siasat tersedia dalam kes tersebut.
Pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Chua Sze Yuan, 38, membuat kenyataan itu ketika pemeriksaan balas Peguam Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada hari ke-20 perbicaraan kes seorang pegawai kanan polis didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima, dua tahun lalu.
Dalam pernyataan itu, Sze Yuan yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh turut bersetuju bahawa semasa pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, tiada laporan daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) disertakan.
Ketika disoal sama ada pendakwaan dilakukan dalam tempoh singkat atas faktor desakan kes yang tular dan mendapat perhatian umum, Sze Yuan menafikan perkara tersebut.
Mior Faridalathrash: Setuju tak dengan saya sebab kes ini viral tersebar luas di media sosial, menyebabkan pihak pendakwaan memanggil kes ini dituduh dengan seberapa segera?
Sze Yuan: Tidak setuju.
Mior Faridalathrash: Ketika kes ini dituduh di mahkamah pada 18 Disember 2023, suasana di Mahkamah Ipoh pada hari tersebut sangat tegang dengan kehadiran penyokong, keluarga mangsa dan orang ramai?
Sze Yuan: Setuju.
Mior Faridalathrash: Pihak polis juga telah lakukan kawalan yang ketat di sekitar mahkamah pada hari tersebut?
Sze Yuan: Setuju.
Saksi ke-32 itu menjawab merujuk pada pernyataan bertulis pada Selasa lepas yang memaklumkan bahawa beliau pada malam 17 Disember 2023 telah menerima arahan agar Mohd Nazri dituduh secara tentatif di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, dalam jawapan balas kepada soalan Peguam M Athimulan, Sze Yuan menjelaskan bahawa 'tentatif' yang dimaksudkan adalah penama dituduh terlebih dahulu sementara menunggu laporan lain siap.
Athimulan: Boleh saya katakan tentatif ini tidak konklusiflah?
Sze Yuan: Betul.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin manakala Mohd Nazri diwakili Peguam Athimulan, Mior Faridalathrash dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.
Hadir sama, Peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Prosiding di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet itu bersambung pada Jumaat.
Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati, Ipoh antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan minimum sebatan 12 kali, jika sabit kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!