87 peratus responden termasuk ibu bapa setuju PLKN dilanjutkan
KULAI - Sejumlah 87 peratus individu berusia 16 hingga 60 tahun termasuk ibu bapa bersetuju pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilanjutkan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, tinjauan awam dilakukan Malaysian Institute of Defence and Security (MIDAS) yang melibatkan seramai 3,092 responden itu, menunjukkan golongan ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mempunyai arah yang jelas dalam kehidupan mereka.
Beliau berkata, justeru kerajaan mengharapkan agar PLKN 3.0 yang akan dilaksanakan tahun ini, dapat membina jati diri sekali gus memupuk sifat kepimpinan golongan muda di negara ini.
"Kita mahu (hubungkan) link yang tiada dalam pendidikan kita dalam bagaimana anak-anak didedahkan dengan ilmu untuk hendak jadi pemimpin.
"Macam mana (cara) hendak jadi pemimpin, mereka tidak tahu. Jadi kita harap dengan PLKN ini, mereka secara fizikal boleh memahami dan belajar di kem sendiri bagaimana sifat itu boleh dipupuk,” katanya ketika diminta mengulas mengenai PLKN selepas Majlis Pelancaran Ibu Pejabat FOZ One, di sini pada Khamis.
Johari berkata, PLKN 3.0 yang menerapkan 70 peratus asas ketenteraan dan 30 peratus kenegaraan, akan membantu meningkatkan kemahiran dan kemampuan diri termasuk dari segi percakapan, berfikir dan sebagainya.
Beliau berkata, ia sekali gus membuka peluang kepada pelatih terutama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menceburkan diri dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), mahu pun Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum ini dilapor berkata, pelaksanaan PLKN 3.0 akan dimulakan dengan latihan percubaan melibatkan 200 peserta, terdiri daripada 148 lelaki dan 52 perempuan, dari 12 Januari hingga 25 Februari, 2025.
Sementara itu Johari ketika ditanya mengenai Parlimen Belia, beliau berkata, inisiatif program tersebut dapat mendedahkan golongan berkenaan yang boleh menjadi pelapis ahli Parlimen berketrampilan dalam usaha ke arah sistem Parlimen yang lebih baik.
"Saya diberikan tanggungjawab untuk mendidik anak-anak kita, bagaimana kita dapat melahirkan pemimpin-pemimpin masa depan yang lebih terdedah dengan sistem yang lebih baik dan tidak lagi macam sekarang ini, kita tengok dalam Parlimen banyak orang main politik daripada cakap hal-hal rakyat.
"Jadi dengan pendedahan dalam Parlimen Belia, kita harapkan tahun ini bermulanya satu sistem baru, saya rombak balik keseluruhan sistem pemilihan dan mengharapkan kita dapat melahirkan anak-anak muda yang lebih berketrampilan untuk menjadi Ahli Parlimen masa hadapan,” katanya.
Johari sebelum ini dilapor berkata, Parlimen Belia ialah platform terbaik bagi anak muda terutama pelajar melibatkan diri pada peringkat awal dunia politik, selain membantu negara mengasah bakat mereka untuk menjadi wakil rakyat yang lebih baik pada masa depan.
Beliau berkata ia juga akan menyerupai proses Pilihan Raya Umum dan pihak Parlimen Malaysia sedang meneliti perkara itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!