Kerajaan lulus enam projek balai bomba di Sabah tahun ini
TAWAU - Kerajaan Persekutuan meluluskan enam projek balai bomba dan penyelamat (BBP) di Sabah yang melibatkan projek naik taraf, bina semula serta bina baharu pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata RM103 juta diperuntukkan untuk projek BBP di Tuaran, Nabawan, Merotai, Lahad Datu, Beaufort serta BBP dan kuarters di Semporna.
"Kerajaan juga meluluskan penyelenggaraan kuarters di seluruh negara termasuk di Sabah sebanyak RM3.8 juta diperuntukkan bagi pembaikan kuarters.
"Ini bukti komitmen besar kerajaan pusat agar semua tempat asas pusat bomba menepati keperluan risiko yang ada, sekali gus dapat memberi perlindungan kebakaran dan operasi penyelamatan," katanya kepada pemberita selepas program dialog bomba bersama pegawai dan anggota di sini, malam tadi.
Selain itu, Mohamad Hamdan berkata bagi menangani ‘response time’ berhadapan kebakaran di kampung air, pihaknya merancang mewujudkan balai bomba air di negeri ini.
"Konseptual dan reka bentuk telah kita sediakan dan tapak itu kita akan tengok sama ada sesuai atau tidak dan pewujudan balai bomba ini kita klasifikasikan sebagai kategori E sekali gus diharap dapat membantu kawasan setempat khususnya di kampung air," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya dalam perancangan melihat keperluan penubuhan unit khas iaitu Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) di kawasan tertentu di Sabah seperti zon perindustrian yang memproses pelbagai jenis bahan melibatkan kimia bahaya atau bahan mudah terbakar.
"Misalnya, jika ada keperluan mendadak di kawasan Tawau kita akan mohon dengan kerajaan penubuhannya kerana kita tahu kalau unit ini respons dari Kota Kinabalu ke Tawau akan mengambil masa lebih lama sehingga 9 jam perjalanan dengan jentera khas," katanya dan menambah unit khas itu hanya ada di Kota Kinabalu.
Menurutnya, unit itu penting ditubuhkan memandangkan kawasan yang mempunyai risiko terdedah bahan kimia tidak boleh dikendalikan dan operasi dengan kaedah biasa kerana ia mesti mengikut tatacara dan ketetapan piawaian antarabangsa.
"Jika perlu (penubuhan) kita akan mohon pada kerajaan jenis peralatan dan logistik yang diperlukan serta pastinya pasukan Hazmat ini kita guna keanggotaan sedia ada dengan kita akan beri mereka latihan supaya ditauliahkan,” katanya.
Di samping itu, Mohamad Hamdan berkata pihaknya akan mewujudkan pusat latihan wilayah di daerah tertentu di negeri ini sebagai cawangan latihan kepada Akademi Wilayah Sabah selain di Kota Kinabalu.
"Jika ada pusat latihan, ini akan menjimatkan masa dan kos pergerakan anggota terlibat, misalnya di Sarawak, akademinya terletak di Kuching tetapi Bintulu serta Miri terdapat pusat latihan sendiri dan di Tawau ada bilik kuliah dan kemudahan itu akan dinaik taraf dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurutnya, pusat latihan sepatutnya perlu lengkap dengan bilik kuliah, padang kawad termasuk fasiliti simulator kebombaan serta tugas-tugas penyelamatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!