Waris dilarang dekati kerja gali, pindah kubur bagi kelancaran proses lapangan - JAIS

Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
Waris berkumpul berdekatan Tanah Perkuburan Islam Selat Klang selepas mendakwa tidak dibenarkan untuk melihat proses pemindahan kubur dijalankan. Gambar kecil: Mohd Shahzihan
A
A
A

SHAH ALAM - Semua waris dan orang awam dilarang mendekati kawasan yang terlibat dengan proses pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, larangan itu dikenakan bagi memastikan pelaksanaan langkah-langkah kesihatan, keselamatan dan kelancaran kerja-kerja yang sedang dijalankan di lapangan.

Menurut beliau, pemakluman awam kepada waris untuk membuat pengecaman plot kubur ahli keluarga sebelum 5 Januari lalu.

"Pemakluman kerja-kerja pengalihan kubur pada Isnin hingga Khamis telah dibuat oleh JAIS menerusi pengumuman di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor selama tiga kali berturut-turut pada hari Jumaat iaitu pada 20 dan 27 Disember tahun lalu serta 3 Januari baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Mohd Shahzihan, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pula telah membuat hebahan awam melalui Facebook Rasmi, manakala Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) telah membuat pemakluman hebahan awam melalui laman sesawang dan papan tanda di tapak.

Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan, waris mendakwa kecewa dan kesal kerana tidak dibenarkan melihat proses penggalian dan pemindahan 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang.

Tinjauan Sinar Harian pada hari pertama proses itu dilaksanakan mendapati, waris tidak dapat menahan sebak dan gagal mengawal emosi apabila proses pemindahan serta penggalian itu bermula sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan memaklumkan, sebanyak 90 plot kubur itu telah selesai dialihkan pada Khamis menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Artikel Berkaitan:

"Kerja-kerja pengalihan kubur melibatkan sebanyak 30, 28, 20 dan 12 plot kubur dalam tempoh empat hari tersebut," ujar beliau.

Beliau memberitahu, JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) dan polis telah berperanan sebagai pihak yang memantau pelaksanaan pemindahan kubur.

"Kerja-kerja pengalihan kubur mengikut pelan kerja yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), JMNS, polis dan MRL.

"JAIS bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang dapat disempurnakan dengan lancar.

"Terima kasih kepada ahli waris yang memberi kerjasama penuh ketika proses pengalihan kubur dibuat," kata beliau.

Sehubungan itu, katanya, JAIS juga akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa untuk jenazah yang terlibat dalam pengalihan kubur dalam tempoh terdekat.

"Semua ahli waris akan dimaklumkan mengenainya oleh JAIS," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!