'Tidak sensitif, ini bukan kali pertama' - Wan Ahmad Fayhsal
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, ini bukan kali pertama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tidak sensitif dengan kebudayaan kebangsaan dalam soal pelancongan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu menggambarkan, sikap tidak sensitif dan alasan diberikan Datuk Seri Tiong King Sing adalah dosa dan satu gangguan yang tidak boleh diterima langsung.
"Ini juga bukan kali pertama beliau pura-pura kononnya tersilap dan tidak lengkap.
"Ini satu dosa, satu gangguan yang tidak boleh diterima langsung. Lebih kelakarnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun, dia lancarkan montaj itu, dia tengok. Takkan dia tak tengok? Menteri dia sendiri. Ini Kerajaan Madani, nama sahaja Madani," kritik Wan Ahmad Fayhsal menerusi sebuah video di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, King Sing berkata, video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.
Beliau berkata, pihak kementerian dan agensi yang berkaitan telah diminta menghasilkan video-video promosi dan membahagikan promosi negeri berkenaan mengikut zon, memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan hasil akhir video yang ditunjukkan kepadanya pada Khamis.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menuduh, menteri dalam kalangan DAP dan King Sing bukan individu yang memahami makna Madani sebenar.
"Budaya teras yang perlu dijulang, diletakkan dalam sebarang promosi yang ada dalam kementerian pelancongan dan kebudayaan.
"Mana mungkin dia boleh luluskan sebuah montaj yang tidak meletakkan simbolisme Islam dan Melayu di kedudukan utama dalam montaj tersebut. Sekarang ini dia bagi alasan kononnya tak lengkap ataupun perlu dibaiki.
"Bukan sekali, bukan dua kali sudah berkali-kali kami tegur. Dan Anwar, buanglah menteri ni daripada Kabinet kamu. Tapi kalau simpan pun bagus juga. Mudah kami buat kerja nak gulingkan kamu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!