Rekod tanpa kalah Kuala Lumpur City lebur di Jalan Besar
REKOD tanpa kalah Kuala Lumpur City dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN lebur setelah tewas 0-2 kepada kelab Singapura, Lion City Sailors dalam aksi Kumpulan B pada Khamis.
Gol The Sailors kendalian Aleksandar Rankovic, 46, dimulakan hasil tandukan pertahanan import dari Australia, Bailey Wright, 30, minit ke-26 untuk memimpin separuh masa pertama aksi di Stadium Jalan Besar, Singapura.
Separuh masa kedua peledak import dari Belgium, Maxime Lestienne, 32, melebarkan kedudukan tuan rumah apabila rembatan minit ke-66 menewaskan Azri Ghani, 25, buat kali kedua.
The City Boys kendalian Miroslav Kuljanac, 54, tampil ke laman lawan tanpa kudrat Brendan Gan, 36, dan Jovan Motika, 26, ternyata bergelut menyesuaikan diri bermain di padang tiruan pasukan lawan yang tewas dua perlawanan awal sebelum ini.
Keputusan itu menyaksikan Kuala Lumpur City mengumpul enam mata selepas menang ke atas Kaya FC, 1-0 (22 Ogos) dan Borneo Samarinda, 1-0 (26 September) dalam perlawanan sebelum ini.
Kuala Lumpur City selepas ini akan melayan kunjungan pendahulu kumpulan, kelab Vietnam, Cong An Hanoi FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, pada 23 Januari.
Namun sebelum itu, Kuala Lumpur City akan berdepan Selangor FC dalam Derbi Lembah Klang Liga Super yang dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 12 Januari.
INFO
Kejuaraan Kelab ASEAN
Kumpulan B
Keputusan
Lion City Sailors 2-0 Kuala Lumpur City
Kaya 1-2 Cong An Hanoi
Buriram United 4-0 Borneo Samarinda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!