Seorang maut, tiga parah nahas kereta bertembung lori

Seorang maut manakala tiga parah selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan di Sungai Asap di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Khamis. Foto hiasan
Seorang maut manakala tiga parah selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan di Sungai Asap di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Khamis. Foto hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang maut manakala tiga parah selepas kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan di Sungai Asap di Jalan Gua Musang-Kuala Krai pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, mangsa lelaki berusia 20-an maut di tempat kejadian manakala pemandu berusia 36 tahun yang juga bapa tiri mangsa dilaporkan parah.

Beliau berkata, dua lagi yang parah ialah isteri pemandu berusia lewat 30-an dan seorang lagi anak lelakinya berusia enam tahun.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.20 pagi ketika pemandu bersama isteri dan dua anaknya dalam perjalanan pulang ke rumah dari pekan Gua Musang.

"Kereta dipandu mangsa hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Sebuah kereta di laluan bertentangan sempat mengelak namun lori yang berada di belakang kereta tersebut bertembung dengan kereta mangsa kerana jarak terlalu dekat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang manakala pemandu lori dan sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 012-4027283. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!