Majlis Raja-Raja, MKI perlu bertindak perangi amalan gelap agensi agama
SHAH ALAM - Majlis Raja Raja dan Majlis Kebangsaan Islam (MKI) perlu mengambil langkah serius dalam menangani amalan gelap seperti rasuah, fitnah dan syubhah yang bersarang dalam agensi agama.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, ia termasuk usaha mentransformasikan agensi terlibat menjadi terang dengan unsur halal, integriti dan akauntabiliti.
"Masyarakat meletakkan tanggapan tinggi terhadap agensi agama lantaran kepimpinan tertinggi dan pengurusan pertengahan adalah daripada kalangan agamawan yang mempunyai lulusan dalam bidang pengajian Islam.
"Namun, apabila berlaku laporan mengenai amalan rasuah dan salah guna kuasa oleh pegawai agensi agama sudah tentu ia membimbangkan masyarakat.
"Memandangkan perihal agama berada di bawah bidang kuasa kedua-dua pihak berkenaan, maka umat Islam menuntut keprihatinan dua badan ini mengambil langkah proaktif," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas dipercayai menerima suapan berjumlah lebih RM13,000 dua tahun lalu.
Suspek dipercayai menerima wang tersebut daripada seorang kontraktor sebagai dorongan membantu mendapatkan kerja-kerja pencetakan di jabatan berkenaan.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 43 tahun itu sehingga 13 Januari ini dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengulas lanjut, Helmi berkata, pihaknya mencadangkan supaya pihak terlibat melaksanakan kempen sedar halal kepada semua agensi agama di negara ini.
Menurutnya, ia sebagai inisiatif dalam memupuk kesedaran tentang kepentingan amalan gaya hidup halal bebas rasuah.
"Mereka perlu insaf walaupun terdiri daripada kalangan agamawan dan mereka juga punyai nafsu. Maka adakalanya nafsu yang rendah (nafsu amarah) mampu menguasai jiwa yang tinggi (jiwa mutmainnah).
"Justeru, Kempen Sedar Halal ini bertujuan untuk menasihat dqn menyedarkan mereka bahawa agamawan tidak terkecuali daripada bisikan syaitan.
"Agensi agama dipertanggungjawabkan dalam menguruskan urusan kehidupan sosial umat Islam. Mereka juga bertanggungjawab hal muamalat dan pemantau halal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!