Proses masuk imigresen Korea Selatan mudah
SHAH ALAM - Tidak timbul sebarang kesulitan bagi rakyat Malaysia masuk ke Korea Selatan walaupun ada segelintir warganegara menggunakan ‘tiket’ bercuti untuk bekerja di negara berkenaan.
Pengembara yang mengatur sendiri (DIY) percutian, Nurhaslina Hassan, 27, berkata, proses kemasukan di imigresen Korea Selatan adalah sama seperti negara Asia yang lain.
“Saya ada dengar beberapa kes rakyat Malaysia ditahan dan dihantar pulang oleh pihak berkuasa, jadi saya siapkan segala salinan dokumen seperti tiket pulang, tempahan hotel dan jadual perjalanan sepanjang di Korea Selatan.
“Bagaimanapun, sewaktu berada di pemeriksaan imigresen, saya tidak diarahkan untuk menunjukkan apa-apa dokumen kepada pihak berkuasa. Jadi proses kemasukan itu sangat cepat dan mudah,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini ada dalam kalangan rakyat Sabah dilaporkan bekerja sambil bercuti di Korea Selatan bagi meraih pendapatan RM2,000 seminggu.
Perbuatan tersebut salah di sisi undang-undang negara berkenaan kerana tidak memohon sebarang permit untuk bekerja malah tinggal melebihi tempoh tiga bulan sehingga menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara itu.
Tambah Nurhaslina, proses imigresen yang mudah mungkin disebabkan pematuhan kepada kehendak kerajaan Korea Selatan yang mewajibkan mana-mana pelancong untuk memperoleh kebenaran perjalanan elektronik Korea (K-ETA) sebelum tiba di negara itu.
“Memandangkan saya pernah ke beberapa buah negara di Asia secara DIY... saya rasa sangat penting untuk kaji dahulu tempat yang ingin dilawati.
“Saya rasa semua yang mahu ke Korea Selatan tahu bahawa prosedur ditetapkan negara itu kepada pelancong luar adalah mengisi K-ETA terlebih dahulu. Lebih baik kalau isi lebih awal (beberapa hari sebelum percutian bermula).
“Kalau segala kehendak yang diperlukan kerajaan Korea Selatan itu dapat dipatuhi, insya-ALLAH, tidak akan timbul isu kena tahan, dihantar pulang dan sebagainya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!