Penyanyi 'Rasathi Unna Kanatha Nenju', P Jayachandran meninggal dunia
PENYANYI legenda India, P Jayachandran yang terkenal sebagai Bhava Gayakan meninggal dunia akibat kanser di Hospital Amala, Kerala pada usia 80 tahun.
Memetik laporan Times of India, mendiang menghembus nafas terahir pada jam 7.55 malam waktu tempatan atau waktu Malaysia 10.25 malam, Khamis ketika sedang menerima rawatan di hospital itu.
Mendiang sebelum itu dikatakan dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan rebah di kediamannya.
Sepanjang kariernya, Jayachandran merekodkan lebih daripada 16,000 lagu dalam pelbagai bahasa termasuk Malayalam, Tamil, Telugu, Kannada dan Hindi.
Jayachandran pernah bekerja dengan beberapa komposer terkemuka seperti maestro Ilaiyaraaja; pemenang Anugerah Oscar, A.R. Rahman dan MS Viswanathan.
Lagu Rasathi Unna Kanatha Nenju dan Kaathirundhu Kaathirundhu daripada filem Vaidehi Kathirundal telah memahat nama beliau dalam industri muzik tempatan, menjadikan karya-karya tersebut sebagai klasik yang terus dikenang hingga ke hari ini.
Selain itu lagu Oru Dheivam Thantha Poove dari filem Kannathil Muthamittal dan Kollaiyele Thennai Vaithu (Kadhalan) yang dinyanyikan mendiang, bukan sahaja memukau pendengar tetapi juga mencetuskan fenomena dalam industri muzik dengan melodi yang begitu menyentuh hati.
Beliau juga pernah menerima pelbagai pengiktirafan tertinggi dalam dunia muzik India, termasuk Anugerah Filem Kebangsaan dan Anugerah J C Daniel daripada kerajaan Kerala atas sumbangan luar biasanya dalam sinema.
Mendiang Jayachandran turut memenangi Anugerah Filem Negeri Kerala sebanyak lima kali dan Anugerah Filem Negeri Tamil Nadu.
Selain itu, lagu berjudul Shiva Shankara Sharana Sarva Vibho dari filem Sree Narayana Guru melayakkan beliau menerima Anugerah Kebangsaan.
Jayachandran juga dianugerahkan Anugerah Swaralaya Kairali Yesudas pada 2001, menjadikannya individu pertama yang menerima penghormatan tersebut.
Dilahirkan pada 3 Mac 1944 di Ernakulam, Kerala, Jayachandran memulakan langkah awal dalam dunia seni ketika zaman persekolahannya. Beliau menunjukkan bakat semula jadi dengan bermain alat muzik, mridangam dan menyanyikan lagu-lagu klasik secara bersahaja.
Perjalanan kariernya bermula pada festival muzik sekolah pada 1958, apabila beliau meraih tempat pertama dalam pertandingan mridangam.
Lebih istimewa buat dirinya, majlis itu menjadi detik bersejarah apabila beliau bertemu dengan legenda muzik, KJ Yesudas, yang menjadi titik permulaan beliau sebagai ikon muzik.
Graduan bidang Zoologi dari Christ College, Irinjalakuda itu memulakan kariernya sebagai penyanyi apabila mendapat tawaran daripada penerbit Sobhana Parameswaran Nair dan pengarah A Vincent selepas melihat persembahannya di sebuah pertunjukan muzik.
Debut beliau adalah menerusi lagu Oru Mullappoo Malayumayi untuk filem Kunjali Marakkar pada tahun 1965. Namun, lagu Manjalayil Mungithorthi dari filem Kalithozhan pertama dilancarkan.
Jasad beliau akan ditempatkan di kediamannya di Poomkunnam, Thrissur, untuk memberi penghormatan terakhir dari jam 8 hingga 10 pagi Jumaat manakala Kerala Sangeetha Nataka Akademi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
Sementara upacara keagamaan akan dilakukan pada jam 3 petang, Sabtu di rumah warisan keluarga mendiang, Paliyath House di Kerala.
Menzahirkan takziah ialah Gabenor Kerala, Rajendra Vishwanath Arlekar yang menyifatkan suara Jayachandran memikat pendengar hampir enam dekat dan ia akan terus menenangkan jiwa pendengar.
Selain itu, Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijaya berkata, lagu mendiang yang menjangkau masa dan ruang kini terhenti.
Menurutnya, pemergian Jayachandran sebagai satu kehilangan besar yang sukar diganti dalam dunia muzik. - Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!