Ketahui hak diri, usah menyerah kalah

Saban tahun, ada sahaja kisah tular di media sosial mengenai perselingkuhan yang menjadikan wanita sebagai mangsa kepada suami sendiri. Gambar hiasan 123rf
Saban tahun, ada sahaja kisah tular di media sosial mengenai perselingkuhan yang menjadikan wanita sebagai mangsa kepada suami sendiri. Gambar hiasan 123rf
A
A
A

ISU orang ketiga dalam perkahwinan sentiasa menjadi perhatian sejak dahulu. Saban tahun, ada sahaja kisah tular di media sosial mengenai perselingkuhan yang menjadikan wanita sebagai mangsa kepada suami sendiri.

Baru-baru ini kisah pengkhianatan lelaki ‘loreng’ yang baru pulang berkhidmat di luar negara tular di laman sosial menarik perhatian penulis. Si isteri dan anak yang sekian lama merindui sosok suami dan bapa ditidakkan hak mereka. Malah lelaki berkenaan didakwa lebih rela menghabiskan masa dengan kekasih gelap.

Wanita tentunya marah, kecewa, rasa dikhianati dan sedih menghadapi kenyataan diri diduakan oleh suami. Sebagai anggota masyarakat dan kaum Hawa, penularan kisah sebegini tidak dinafikan meruntun emosi.

Namun, tidak salah rasanya untuk kita mengambilnya sebagai pengajaran dan mengambil langkah lanjut mengikut undang-undang.

Ketepikan dahulu patah hati dan ketahui bahawa tindakan orang ketiga mengganggu rumah tangga orang lain adalah satu kesalahan bagi undang-undang sivil dan syariah. Beranilah berjuang menegakkan hak untuk diri dan anak-anak.

Penulis memetik kata-kata Peguam Syarie, Nurfarhana Abd Manaf dalam rancangan Borak Bibir Merah SinarPlus pada 1 Julai 2022. Beliau berkata, perosak rumah tangga atau pihak ketiga bukan sahaja kekasih kepada pasangan yang curang. Ia juga boleh merujuk kepada skandal si suami, kaum kerabat atau mana-mana individu yang boleh menyebabkan berlakunya perceraian.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui secara lanjut mengenai hak ini. Selain sesi kaunseling dan rundingan, kaum isteri juga boleh mengambil tindakan keras untuk menyelamatkan rumah tangga.

Majlis Agama Islam Selangor misalnya memperuntukkan undang-undang syariah bagi pengganggu atau orang ketiga dalam suatu rumah tangga. Di bawah Enakmen 11 Tahun 2023 – Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 (Bahagian V- Kesalahan Pelbagai), individu yang didapati bersalah melakukan gangguan terhadap rumah tangga pasangan lain boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali oleh mahkamah syariah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, terdapat juga peruntukan undang-undang untuk melindungi pasangan yang sah di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.

Pertama, Seksyen 33 – menghalang pasangan suami isteri yang sah daripada hidup sebagai suami isteri. Individu yang bersalah boleh didenda tidak lebih RM3,000, penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya dan mahkamah boleh memerintah suami isteri hidup bersama.

Kedua pula ialah Seksyen 34 – menghasut, memaksa, memujuk suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan tanggungjawab. Orang ketiga boleh didenda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak lebih dari tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, bertindaklah dengan bijak dengan mengumpulkan fakta sahih untuk membantu pendakwaan.

Memetik temu ramah portal berita tempatan, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor menerangkan, dalam kes pasangan curang, sangat mustahak bagi pengadu mengemukakan bukti dan maklumat seperti gambar, dokumen atau perbualan di WhatsApp ketika membuat laporan kepada pejabat agama.

Dengan bukti yang cukup seperti rakaman video, gambar atau resit hotel melibatkan perbuatan zina misalnya, isteri boleh mengemukakan aduan terhadap kesalahan berkhalwat atau zina. Manakala pegawai pejabat agama pula boleh membuka kertas siasatan terhadap pasangan yang curang.

Sebenarnya tidak sukar untuk membawa perkara itu ke tengah. Untuk membuat aduan, anda boleh merujuk kepada Unit Penguatkuasaan dan Pendakwaan, jabatan agama Islam negeri serta mahkamah syariah negeri masing-masing.

Jangan hanya menjadi warga maya tetapi mengambil kisah-kisah sensasi seumpama itu sebagai iktibar dan jadilah wanita yang bijak.

Intihanya, wanita usah membuka pekung di dada, melakukan perbuatan merugikan diri dan mengambil tahu hak sebagai isteri di sisi undang-undang.

Biarpun tindakan undang-undang mungkin agak keras, perlu dijelaskan bahawa langkah tersebut sama sekali bukan untuk mengaibkan, namun sebagai pengajaran agar mereka tidak mengulangi kesilapan yang sama.

* Azma Mohd Lazim ialah Wartawan Sinar Plus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!