Peru-Malaysia tinjau usaha sama makanan halal, infrastruktur

QUINOA adalah sejenis biji jenis chenopodium dari pokok quinoa dan ia dikategorikan sebagai pseudo bijirin. Foto CANVA
QUINOA adalah sejenis biji jenis chenopodium dari pokok quinoa dan ia dikategorikan sebagai pseudo bijirin. Foto CANVA
A
A
A

KEPAKARAN Malaysia dalam produk-produk makanan halal yang disertai input bahan mentah pertanian premium Peru seperti quinoa, biji chia dan kacang gajus, menawarkan potensi besar bagi peluang usaha sama antara kedua-dua negara.

Duta Besar Peru ke Malaysia, Ricardo Estanislao Morote Canales berkongsi peluang itu selain faktor kelebihan logistik yang ditawarkan oleh Pelabuhan Chancay, Peru.

Beliau berkata, kesemua produk itu boleh dieksport ke pasaran global termasuk ke Amerika Selatan, Timur Tengah, China dan Asia Tenggara menerusi Pelabuhan Chancay.

Pintu masuk itu juga antara pelabuhan pintar paling maju di Amerika Selatan, juga menawarkan laluan perkapalan secara terus ke Asia dan mampu mengurangkan kos pengangkutan sehingga 20 peratus.

Dalam membangunkan ekosistem halal, asas usaha sama Malaysia-Peru ini diketengahkan selepas kedua-dua negara memeterai memerandum persefahaman bagi pembangunan ekosistem halal dan rangka kerja pensijilan halal sewaktu lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Lima pada 13 November.

CANALES
CANALES

Rangka kerja itu dijangka memakan masa sehingga dua tahun untuk dimuktamadkan, bertujuan membolehkan pengeluaran produk diperakui halal untuk dieksport ke pasaran yang mencatat permintaan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Usaha sama ini tidak hanya membolehkan syarikat Malaysia mengembangkan lagi jejak dalam industri halal tetapi turut memastikan rantaian bekalan yang stabil untuk tujuan pengedaran global," katanya.

Canales berkata, lokasi strategik pelabuhan dan operasinya yang maju itu bersifat transformatif sekali gus dapat mengurangkan kos logistik sehingga 30 peratus dan menawarkan peluang kepada firma Malaysia untuk mewujudkan kemudahan pengeluaran berhampiran pelabuhan berkenaan.

Di samping itu, inisiatif kerjasama pula bertujuan menjamin rantaian bekalan, mengurangkan kos pengeluaran selain mengaktifkan akses ke pasaran baharu bagi produk halal dan bukan halal.

"Iniatif ini saling menguntungkan bagi kedua-dua negara memandangkan Malaysia membawa bersama kepakaran halal bertaraf dunia manakala Peru menawarkan input pertanian premium serta gerbang strategik ke pasaran global," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!