Jauhi makanan syubhah, ia ‘jalan’ ke arah yang haram

A
A
A

SELAIN makanan dan minuman diharamkan, umat Islam perlu menjauhi segala hidangan yang mempunyai unsur syubhah.

Pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, syubhah bermaksud sesuatu yang diragui kehalalannya.

Walaupun ia bukanlah bermaksud haram, tetapi tegas beliau, syubhah ialah ‘jalan’ atau menghampirkan diri kita ke arah yang haram.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barang siapa memelihara (dirinya daripada) segala yang kesamaran, sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. Dan barang siapa jatuh ke dalam perkara kesamaran, jatuhlah ia ke dalam yang haram seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan ALLAH itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-NYA. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia ialah hati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Melihat kepada ungkapan hadis itu, ujar Ustaz Mohamad Hadi, sebaiknya kita hindarilah syubhah kerana dikhuatiri diri akan terjebak kepada perkara yang haram.

Ia sepertimana orang menternak kambing berhampiran padang ternakan lain. Haiwan itu kemungkinan akan melangkah ke kawasan rumput milik orang lain untuk makan.

“Sama juga halnya dengan makanan yang tidak diketahui halal atau haram, maka tinggalkanlah sebab banyak lagi hidangan yang halal. Mengapa kita hendak makan yang syubhah?

“Ia melainkan jika memang tiada pilihan lagi, maka saat itu diharuskan untuk kita mengambil makanan tersebut ataupun yang haram andai benar-benar dalam keadaan darurat,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga apabila kita melihat restoran yang tiada sijil halal, diragui ataupun ia menjual makanan berasaskan haiwan sembelihan dan dipunyai pula oleh orang bukan Islam.

Tempat-tempat sebegitu, tegas agamawan itu, ia patut dijauhi apalagi kita tinggal di Malaysia yang mempunyai banyak pilihan restoran memiliki sijil halal.

“Mengapa kita mahu mencari makanan yang tidak jelas (status halalnya)? Ia melainkan jika kita berada di negara-negara bukan Islam, itu cerita lain.

“Sebagai orang Islam, kita perlu berjaga-jaga agar tidak terjebak dalam perkara haram dan syubhah,” tegasnya.

Makanan haram punca doa ditolak

Ketahuilah bahawa mereka yang menjauhi diri daripada perkara syubhah sebenarnya telah menyelamatkan diri, agama dan akidahnya serta memelihara kehormatannya.

Bayangkan jika perihal itu diremehkan dan kita mengambil makanan haram, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, ia menjadi antara penyebab doanya ditolak oleh ALLAH SWT.

“Perkara itu disebut jelas dalam hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim yang mana seorang pemuda bermusafir jauh hinggakan rambutnya kusut-masai dan berdebu.

“Tatkala ia menadahkan tangan ke langit untuk berdoa dengan bersungguh-sungguh, permohonannya tidak diterima kerana dia makan dan minum dari sumber yang haram termasuk juga pakaiannya walaupun bermusafir merupakan waktu mustajabnya doa,” terangnya panjang lebar.

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Sa’ad bin Abi Waqqas, bersihkanlah makananmu dan percayalah doamu akan diterima oleh ALLAH SWT. Sesungguhnya jiwa Muhammad di tangan-NYA, seorang hamba yang makanannya daripada sesuap benda yang haram ke dalam perutnya. Sesungguhnya ALLAH tidak akan memakbulkan doanya selama 40 hari dan setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram dan riba, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis Riwayat At-Tabarani)

Meskipun perkara syubhah tidak termasuk di dalamnya, tetapi pendakwah itu mengingatkan agar kita mencari yang halal sebagaimana dituntut ke atas setiap Muslim.

Lebih-lebih lagi dalam soal makan dan minum yang perlu dijaga, bukan setakat halal, tetapi juga baik, bersih dan suci serta pastikan ada sijil halal untuk mengelak perkara syubhah.

“Kemudian, pilihlah kedai Muslim apatah lagi orang yang memasak makanan itu ialah mereka menjaga solat dan menutup aurat dengan sempurna. Bukan sekadar sedap dan (kedai) tular (di media sosial).

“Ini kerana hanya mereka yang menjaga agama sahaja akan peduli dengan makanan dimasak termasuk dari segi bahan dan proses penghasilannya,” katanya.

ANEKDOT

Kisah Imam Al-Juwayni ‘dipaksa’ muntahkan susu elak syubhah

- Ketika ibu Imam Al-Juwayni memasak, Imam al-Haramain yang masih kecil saat itu menangis kelaparan.

- Tangisannya didengari oleh seorang hamba perempuan (bukan milik ayahnya) yang menyusukan anak jiran mereka. Wanita itu kemudian mengambil Imam Al-Juwayni dan memberikannya satu dua hisapan.

- Ayah Imam Al-Juwayni ternampak perbuatannya, lalu beliau menegahnya dan berkata kepada isterinya bahawa ‘Hamba wanita ini bukan milik kita, dia tidak memiliki susunya (kerana ia milik tuannya). Tuannya juga pasti tidak reda dengan tindakannya itu’.

- Hati ayah Imam Al-Juwayni begitu tidak tenteram. Akhirnya, beliau mengangkat Imam Al-Juwayni dan menterbalikkan kepala anaknya ke bawah sambil menekan-nekan perutnya dan menjolok jarinya ke dalam kerongkong Imam Al-Juwayni hingga keluarlah muntah susu yang dihisap tadi.

- Kemudian, ayahnya berkata ‘Lebih mudah bagiku jika Imam Al-Juwayni mati (daripada dia minum benda syubhah) dan dirinya tidak rosak akibat meminum susu bukan milik ibunya’.

- Disebabkan itulah Imam Al-Juwayni tatkala beliau gagap dalam berhujah sering mengatakan ‘Ini akibat saki baki hisapan susu (yang bukan milik ibunya) yang pernah aku minum ketika kecil’.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!