Dakwaan diskriminasi: Tiada kelibat pekerja Suhakam adakan piket
KUALA LUMPUR - Keadaan di hadapan Menara Menara TH Perdana pagi ini yang dikatakan menjadi lokasi piket sekumpulan kakitangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) didapati lengang.
Setakat jam 10 pagi, tiada sebarang pergerakan peserta piket dilihat berada sekitar pekarangan tempat bantahan.
Sebelum ini dilaporkan sekumpulan kakitangan Suhakam bakal mengadakan bantahan pada Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di hadapan Menara TH Perdana.
Difahamkan piket itu dirancang bagi membantah tiga isu yang didakwa berlaku dalam Suhakam, antaranya pengumuman tiga timbalan setiausaha yang diberikan kenaikan gaji.
Selain itu, piket itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan isu timbalan setiausaha menggunakan sistem penilaian prestasi yang berbeza daripada pegawai Suhakam lain serta dakwaan suruhanjaya itu menyekat penyertaan pekerja dalam Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!