Bekas ADUN Kuala Sepetang dilantik CEO Tourism Selangor baharu
SHAH ALAM - Agensi Promosi Pelancongan Rasmi Negeri Selangor, Tourism Selangor Sdn Bhd melantik Chua Yee Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu berkuat kuasa serta-merta.
Tourism Selangor dalam satu kenyataan berkata, lantikan bekas Ahli Dewan Undangan (DUN) Kuala Sepetang, Perak itu bagi menggantikan Azrul Shah Mohamad yang telah berkhidmat selama lima tahun sejak Januari 2020.
“Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan kakitangan Tourism Selangor mengalu-alukan CEO baharu yang berpengalaman luas dalam pentadbiran selama 17 tahun merentasi pelbagai industri selain memiliki kepakaran dan kredibiliti dapat menyumbang kepada agensi.
“Kerjasama ini diharap dapat memacu industri pelancongan ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam mencapai matlamat Tahun Melawat Selangor 2025,” katanya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, menurut Tourism Selangor, kecemerlangan rekod Yee Ling merentasi sektor awam dan swasta mampu mengukuhkan kerjasama antara agensi tersebut dengan kerajaan negeri.
Sebelum menyertai Tourism Selangor, beliau turut memegang beberapa peranan penting dalam kerajaan termasuk pegawai khas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Berdasarkan rekod, Yee Ling pernah berkhidmat sebagai pengurus Pembangunan Industri dan Jaringan Perniagaan di Tourism Selangor selama empat tahun berturut-turut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!