Nona Superwoman Award iktiraf keupayaan wanita
PETALING JAYA - Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Penganugerahan Nona Superwoman Award 2024 yang diadakan di sebuah hotel di sini.
Hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office memaklumkan, pada majlis dianjurkan majalah Nona itu baginda turut berkenan menyampaikan 10 daripada 39 kategori anugerah pada majlis berkenaan.
"Anugerah diberikan kepada individu dan tokoh wanita cemerlang dalam pelbagai bidang termasuklah korporat, seni, fesyen, bisnes dan sukan yang mencetus revolusi Malaysia sepanjang tahun 2024," menurut hantaran itu.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam hantaran berasingan memaklumkan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif merupakan salah seorang penerima bagi Anugerah Nona Superwoman Award 2024.
Anugerah itu diberikan kepada Maimunah sebagai tanda penghargaan di atas pencapaian beliau sebagai wanita pertama yang memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur serta jasa dan sumbangan besar beliau sewaktu menjawat jawatan sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat dan Ketua Pengarah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Nona Superwoman Award adalah sebuah anugerah yang mengiktiraf keupayaan wanita dalam mencorakkan masa depan dengan keberanian, daya tahan, dan kecemerlangan.
"Anugerah ini diberikan kepada tokoh-tokoh wanita yang telah menunjukkan kepimpinan dan pencapaian luar biasa dalam bidang masing-masing," menurut DBKL menerusi hantaran itu di laman Facebooknya.
Tambahnya, semoga kejayaan itu menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja DBKL untuk terus meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kecemerlangan organisasi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!