Ustaz Abdul Somad, Ustaz Don terima tauliah mengajar di Perak

Don Danial (kiri), Ustaz Abdul Somad
Don Danial (kiri), Ustaz Abdul Somad
A
A
A

IPOH - Pendakwah terkenal dari Indonesia, Abdul Somad Batubara atau Ustaz Abdul Somad menjadi antara penceramah luar negara yang menerima tauliah mengajar agama Islam di negeri Perak.

Beliau merupakan sebahagian daripada 14 individu dari luar negara yang diumumkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi surat makluman Senarai Pemegang Tauliah Mengajar Agama Islam Negeri Perak dikongsi melalui Facebook Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk pada Khamis.

Selain Abdul Somad, penceramah luar negara yang turut mendapat tauliah sama ialah Kadimagomedov Khabib dari Emiriah Arab Bersatu, Abdul Qodir Ali Al-Fathoni dari Thailand dan H Rohimuddin Nawawi dari Banten, Indonesia.

Ustaz Abdul Somad (dua dari kanan) menerima sijil tauliah mengajar daripada Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh dalam satu program di Lenggong pada 20 Disember lalu.
Ustaz Abdul Somad (dua dari kanan) menerima sijil tauliah mengajar daripada Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh dalam satu program di Lenggong pada 20 Disember lalu.

Bagi pendakwah tempatan pula, antara yang menerima tauliah termasuklah Don Daniyal Don Biyajid atau Ustaz Don yang merupakan sebahagian daripada 104 penceramah luar Perak yang tertera dalam senarai tersebut.

Selain Ustaz Don, beberapa penceramah terkenal turut menerima tauliah sama termasuklah Ustaz Wadi Annuar, Ustazah Asma' Harun, Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid, Dr Zamihan Mat Zin, Datuk Dr Norhafizah Musa dan Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Turut diberikan tauliah sama ialah Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang; Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir; Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman; Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI), Datuk Kamarudin Abdullah dan Pengerusi Pusat Penyelidikan Madani, Dr Madhi Hasan.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Kazim
Mohammad Kazim

Sementara itu, bagi penceramah dalam negeri Perak pula, antara yang tersenarai sebagai pemegang tauliah termasuklah pendakwah terkenal, Datuk Mohammad Kazim Elias; penceramah, Syed Mohd Bakri Syed Ismail atau Pencetus Ummah (PU) Syed; Pengarah JAIPk, Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim; Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor;

Kesemua mereka diberikan tauliah oleh Jabatan Mufti Negeri Perak untuk mengajar di dalam negeri ini untuk tempoh bermula 2 April 2024 hingga 1 April 2029.

Pada 19 Oktober tahun lalu, media melaporkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menolak rayuan tauliah mengajar Ustaz Don.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jawatankuasa tauliah membuat ketetapan menolak rayuan itu selepas penelitian terhadap kes penarikan tauliah ke atasnya pada 24 Julai lalu.

Bagaimanapun menurutnya, Ustaz Don boleh mengemukakan permohonan semula tauliah mengajar berkenaan selepas setahun dari tarikh itu.

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum ini membuat ketetapan menarik tauliah mengajar Ustaz Don berdasarkan kuasa Jawatankuasa mengikut subseksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang dibaca bersama perenggan 17(d) Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah.

Difahamkan Ustaz Don telah mengemukakan rayuan pada 14 Ogos lalu sebelum rayuan itu ditolak pada 17 September.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!