[VIDEO] Peguam sudah terima laporan kimia kes Zayn Rayyan

A
A
A

PETALING JAYA - Pihak pendakwaan kes pengabaian kanak-kanak autisme, membabitkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat bahawa semua dokumen berkaitan kes antaranya laporan kimia dan cakera padat (CD) telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin berkata, dokumen berkenaan akan digunakan ketika perbicaraan kelak.

Menurutnya, setakat ini tiada lagi dokumen lain akan diserahkan kepada pembelaan yang mewakili pasangan berusia 30 tahun itu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.

"Senarai saksi termasuk pernyataan saksi sekiranya ada akan diserahkan kepada peguam sebelum perbicaraan melalui e-mel.

"Susulan itu, kami memohon tarikh perbicaraan yang ditetapkan bermula 3 Februari depan dikekalkan," katanya yang turut dihadiri barisan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, Kamarul Iman Ahmad Sapian dan Nur Izzati Rozman.

Sementara itu, peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua-dua tertuduh mengesahkan penerimaan laporan kimia dan cakera padat terbabit.

Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira (kiri) dan Zaim Ikhwan.(Gambar kecil: Zayn Rayyan) Gambar fail SINAR HARIAN
Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira (kiri) dan Zaim Ikhwan.(Gambar kecil: Zayn Rayyan) Gambar fail SINAR HARIAN

Selain Haresh, pembelaan turut diwakili peguam, Ramzani Idris sementara peguam pemerhati, Nursyahirah Mohammad Jubri hadir bagi pihak Badan Peguam.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Dr Syahliza Warnoh mengekalkan tarikh perbicaraan kes itu.

Sebelum ini, mahkamah melapangkan tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Januari dan akan bermula pada 3 hingga 7 dan 17 hingga 21 Februari sementara Mac bermula 10 hingga 14.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri yang berusia 30 tahun itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!