Buat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 tindakan wajar - Mohd Na'im
SHAH ALAM - Tindakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk membuat semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) adalah wajar serta tepat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selain kemajmukan masyarakat di Malaysia.
“Selain itu, sepertimana semua sedia maklum, institusi masjid dan surau menjadi imej serta identiti tonggak kepada Malaysia.
“Usaha untuk memperkukuh serta memartabat syiar Islam di Malaysia adalah keutamaan Kerajaan Madani yang sedang dilaksanakan dengan penuh giat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, video TMM 2026 yang dipertikaikan kerana tidak memasukkan elemen masjid akan dibuat semula dengan lebih terperinci oleh pihak kementerian dan agensi berkaitan bagi mempromosi setiap negeri sebaiknya.
Jelasnya, selepas meneliti video itu yang dilancarkan Selasa lalu, beliau mendapati terdapat beberapa penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan ia memaparkan produk pelancongan secara bercampur aduk dan tidak disusun mengikut negeri.
Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, usaha pengukuhan Islam telah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam Negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Semua pihak adalah diseru untuk bersama-sama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!