RUU Perubahan Iklim Negara di peringkat akhir - Nik Nazmi
KOTA BHARU - Proses menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara kini sudah di peringkat akhir sebelum perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara untuk dibawa ke Parlimen.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kementerian itu sudah membuka kertas konsultasi kepada pihak awam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan untuk mendapatkan maklum balas pihak terbabit.
Menurut Nik Nazmi, pihaknya turut memulakan libat urus dengan kerajaan negeri sepanjang proses memuktamadkan RUU tersebut.
"Kita memang serius dengan perkara yang dibangkitkan dengan mengambil kira semua pendapat dan akan melihat perkara yang boleh diperbaiki sebelum menggubal RUU itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Semarak Desa Kampung Angkat Madani NRES 2025, di sini pada Jumaat.
Tambahnya, antara isu yang disasarkan dalam RUU Perubahan Iklim Negara ialah Sifar Bersih 2050, pengurangan pelepasan gas dan kenaikan paras air laut.
"Kita juga akan ada Pelan Adaptasi Kebangsaan tetapi kalau boleh mahu memberikan penekanan dalam RUU berkenaan," katanya.
Jelasnya, kementerian juga sedang membangunkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) yang akan melengkapi pembangunan RUU Perubahan Iklim Negara.
Dalam perkembangan lain, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang diwartakan pada 6 Jun telah dikuatkuasakan pada 7 Julai tahun lalu.
"Pindaan kali ini memberi keutamaan kepada hukuman, denda dan penalti melalui denda minimum dan maksimum jika disabitkan kesalahan di bawah akta ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!