'Saya nak masuk Hospital Bahagia'

A
A
A

IPOH - Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat memerintahkan seorang lelaki yang didakwa menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan psikiatri di sini, minggu lalu untuk menjalani pemantauan selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK).

Perintah itu dikeluarkan Hakim Azizah Ahmad terhadap Muhammad Firdaus Zohare, 32, juga penghuni pusat jagaan sama selepas dia mengaku bersalah bagi pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Firdaus didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Muhammad Afiq Wafiuddin Lokeman, 25, dengan niat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat jagaan di Housing Trust di sini kira-kira jam 7.45 pagi pada 31 Disember 2024.

Muhammad Firdaus mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan psikiatri pada 31 Disember 2024.
Muhammad Firdaus mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan psikiatri pada 31 Disember 2024.

Tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S Vitthiyeswary memohon mahkamah menetapkan suatu tarikh sementara menunggu laporan perubatan selain memaklumkan tertuduh mempunyai rekod rawatan mental dan menghuni di pusat jagaan itu sejak lapan tahun lalu.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dia dihantar menjalani rawatan di HBUK.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Firdaus dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas selesai prosiding pertuduhan menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan psikiatri di Ipoh.
Muhammad Firdaus dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh pada Jumaat selepas selesai prosiding pertuduhan menyebabkan kematian seorang penghuni pusat jagaan psikiatri di Ipoh.

"Saya minta budi bicara hendak masuk Hospital Bahagia, saya ada psikiatri (rekod) dua kali di sana," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 18 Februari depan bagi mendapatkan laporan tersebut.

Media melaporkan polis menahan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki warga tempatan di sebuah pusat rawatan psikiatri swasta di Pasir Puteh di sini, minggu lalu.

Mangsa ditemui orang awam terbaring dalam bilik tidur namun, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati punca kematian disebabkan kecederaan abdomen akibat objek tumpul.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!