[VIDEO] Jurugambar tidak mengaku cederakan dua pereka fesyen Datuk Vida
PETALING JAYA - Seorang jurugambar bebas yang tular mencederakan dua pereka fesyen kepada usahawan kosmetik, Datuk Seri Vida mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan mencederakan mangsa di sebuah hotel di sini.
Muhammad Imran Khairil, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Farah Azura Mohd Saad.
Mengikut dua pertuduhan, lelaki itu yang memakai baju lengan panjang berwarna hitam didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Azmi Abdul Rahman, 47, dan Raziman Din, 53, dengan menggunakan kamera sebagai senjata.
Kesalahan didakwa dilakukan di aras satu sebuah hotel di sini jam 8.45 dan 9 malam pada 8 Januari lalu.
Dua kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Kaseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamim bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Suraj Singh yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana mempunyai pendapatan yang tidak menentu.
“Dia telah memberi kerjasama semasa ditangkap dan tidak cuba untuk melarikan diri, maka tiada alasan anak guam akan culas daripada menghadiri perbicaraan ini kelak,” katanya yang turut dihadiri peguam, Kailash Sharma.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Farah Azura membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,500 bagi setiap kes dan memenuhi syarat tambahan tidak mengganggu kedua-dua mangsa.
Mahkamah menetapkan 28 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Sinar Harian melaporkan, Vida terperanjat apabila dua pereka fesyen busananya, mengalami kecederaan selepas diserang jurugambar dalam satu majlis anugerah di sebuah hotel di sini jam 8.40 malam pada Rabu.
Ketika itu, wartawan sedang menemubual Vida atau nama sebenarnya, Hasmiza Othman sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera.
Kedua-dua mangsa yang mengalami luka di pipi, menerima rawatan lanjut sebelum pihak penganjur bertindak membuat laporan polis.
Difahamkan, insiden itu berpunca daripada masalah peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!