Lokasi remaja enggan pulang rumah sudah dikesan
KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan remaja perempuan yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Brickfields di sini pada Isnin lalu telah menghubungi ibunya pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya sudah mengetahui kedudukan remaja perempuan berusia 15 tahun itu.
Menurutnya, selepas menghubungi ibunya, remaja terbabit turut menghubungi rakannya.
"Secara umumnya kita sudah mengetahui lokasi remaja tersebut berdasarkan dua panggilan yang dibuat. Remaja berkenaan memberitahu bahawa dia berada di rumah rakannya.
"Siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenal pasti secara terperinci lokasi remaja tersebut," katanya dalam sidang akhbar majlis pelupusan barang kes peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Ku Mashariman berkata, remaja itu sebelum ini dipercayai menyekat nombor telefon ibunya.
Bagaimanapun katanya, remaja berkenaan kemudian telah mengaktifkan semula nombor telefon ibunya bagi menghubungi dan memaklumkan keberadaannya kepada wanita itu serta seorang rakannya.
"Polis percaya remaja perempuan ini pada ketika ini berada di luar Lembah Klang. Kita minta remaja ini supaya segera pulang ke rumah," ujarnya.
Ditanya mengenai motif remaja itu melarikan diri dari rumah, beliau berkata, ia dipercayai disebabkan masalah dalaman keluarga.
Tambah beliau, remaja itu sebelum ini pernah melarikan diri, namun pulang semula ke pangkuan keluarga.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan remaja terbabit enggan pulang ke rumah walaupun telah dinasihatkan oleh polis untuk berbuat demikian.
Menurut Ku Mashariman, remaja itu pada mulanya dilaporkan keluar dari rumah tanpa kebenaran untuk menghadiri majlis hari jadi seorang rakannya di luar kawasan Lembah Klang.
Namun sehingga kini dia masih tidak pulang ke rumah tanpa memberikan sebarang alasan atau penjelasan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!