[VIDEO] Bercuti 'ala Bali' di Pantai Teluk Kemang
PORT DICKSON - Setelah sekian lama Pantai Teluk Kemang terpalit dengan isu khemah biru, kini destinasi peranginan tersebut tampil dengan wajah baharu yang lebih menarik.
Bermula Sabtu ini, pengunjung bakal ditawar kemudahan sewa payung pantai 'ala Bali' yang lengkap dengan kerusi santai dan meja menggantikan khemah-khemah yang digunakan sebelum ini.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, kemudahan itu diharap dapat menggembalikan keseronokan pengunjung untuk ke pantai berkenaan.
Menurutnya, ia disumbangkan oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) secara 'one off' kepada 33 pengusaha yang melibatkan peruntukan lebih RM200,000.
"Secara keseluruhan, sebanyak 270 unit payung pantai, 540 unit kerusi dan 270 meja diberi kepada 33 pengusaha.
"Setiap pengusaha diberi lapan payung, lapan meja dan 16 kerusi manakala kadar sewaan yang ditetapkan oleh MPPD tidak melebihi RM50," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Payung Pantai di Pantai Teluk Kemang di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, aktiviti sewaan payung itu hanya melibatkan sepanjang 600 meter dari 1.2 kilometer pantai berkenaan sekali gus masih memberi ruang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan Pantai Teluk Kemang.
"Ini adalah usaha MPPD untuk menyelesaikan isu khemah biru yang hangat diperkatakan beberapa tahun sebelum ini.
"Konsep payung ini dilihat lebih menarik dan cantik, malah tidak menutup keseluruhan pemandangan pantai di sini yang memang menjadi isu sebelum ini," katanya.
Ujarnya, bukan semua pengunjung tidak bersetuju dengan sewaan khemah pantai sebelum ini dan konsep sewaan payung adalah jalan penyelesaian terbaik.
Tambahnya, perniagaan sewaan payung pantai itu diberikan tempoh percubaan selama enam bulan dan sekiranya pengusaha didapati melanggar peraturan, mereka akan dikenakan tindakan.
"Sekiranya peniaga masih melakukan kesalahan seperti sebelum ini, MPPD tidak teragak-agak untuk membatalkan terus kebenaran perniagaan mereka.
"Setakat ini sewaan payung hanya disediakan di Pantai Teluk Kemang dan tidak melibatkan Pantai Tanjung Biru dan Pantai Cermin," katanya.
Beliau berharap, tiada isu berbangkit berkenaan payung pantai itu kerana ia telah mengubah lensa pemandangan pantai yang lebih indah, kemas dan tersusun.
"Para pengunjung bolehlah menikmati pemandangan pantai dengan suasana khemah payung ala percutian di pantai peranginan di Bali," katanya.
'Tiada lagi imej pasar malam di Pantai Teluk Kemang, tapi 'vibes' antarabangsa'
PORT DICKSON - Konsep baharu payung pantai 'ala' Bali yang diperkenalkan di Pantai Teluk Kemang bagi menggantikan khemah biru sebelum ini dilihat pengunjung dapat memberi nafas baharu kepada pantai peranginan tersebut.
Rata-rata berpendapat konsep berkenaan dapat menjadi tarikan baharu kepada pengunjung dan pada masa sama dapat menghilangkan imej pasar malam yang dilabelkan kepada pantai itu sebelum ini.
Mohd Fizran Rosli, 24, berkata, penggunaan konsep payung berkenaan dapat memberikan 'vibes' antarabangsa kepada Pantai Teluk Kemang.
"Bagi saya ia beri nafas baharu dan 'vibes international' kepada pantai ini yang sebelum ini berdepan isu khemah biru.
"Biasanya kalau kita nak nikmati pemandangan macam ini biasanya kena pergi Langkawi, tapi sekarang boleh dinikmati di Port Dickson," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Rakannya, Nur Iedina Batrisyia Johari, 21, pula berpendapat, pantai terbabit kini dilihat lebih eksklusif berbanding sebelum ini.
Katanya, orang ramai semestinya akan lebih tertarik untuk datang bersantai di situ selepas ini.
"Orang akan tertarik nak datang pantai ini sebab ada payung baharu yang lagi cantik, nampak seperti di luar negara.
"Rasanya orang ramai dah boleh ubah persepsi negatif terhadap Pantai Teluk Kemang," katanya.
Selain itu, Chrystelle Esmeralda, 21, yang berasal dari Sabah berkata, konsep baharu itu dapat mengubah imej pasar malam yang dilabelkan netizen kepada pantai terbabit sebelum ini.
Dalam pada itu seorang pengusaha, Sanimah Sani Mohd, 50, menyatakan rasa syukur masih diberi peluang mencari rezeki di pantai berkenaan dengan sewaan payung pantai.
Ini kerana katanya, dengan perniagaan itulah dia dapat menyara keluarga dan membesarkan empat anak-anaknya.
"Dari emak saya lagi kami buat perniagaan sewaan khemah di Pantai Teluk Kemang dan apabila terpaksa ditutup sebelum ini pendapatan saya memang terjejas.
"Bila dibenarkan beroperasi semula tapi dengan konsep payung pantai, saya seronoklah dan bagi saya ia dapat menjadikan suasana Pantai Teluk Kemang lebih cantik," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!