Masih ada 135 taska tidak berdaftar di Selangor
SHAH ALAM - Terdapat 135 taman asuhan kanak-kanak (taska) di Selangor tidak berdaftar sehingga Disember tahun lalu dan berada di bawah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Shaari berkata, bagi taska tidak berdaftar itu, pihaknya menggunakan pelbagai pendekatan termasuk mengadakan operasi berkala sejak awal 2023.
"Hasil operasi dan semakan sehingga Disember lalu, kerajaan negeri mendapati sebanyak 980 taska telah mendaftar, manakala 135 taska tidak berdaftar namun dalam pengetahuan pihak JKM.
"Kerajaan negeri mengambil serius dan tegas terhadap operasi taska tidak berdaftar ini kerana ia melibatkan keselamatan dan nyawa kanak kanak yang dijaga," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Terdahulu, taska di Bandar Saujana Putra, Kuala Langat di negeri ini yang dipercayai terbabit dalam kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan, telah diarahkan tutup pada Rabu.
Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim dilaporkan berkata, pihaknya mendapat makluman mengenai insiden berkenaan daripada polis pada Ahad minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.29 petang daripada doktor sebuah klinik.
Menurutnya, bayi itu dilaporkan dibawa pengasuh taska dalam keadaan pucat kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas selain tiada pergerakan anak mata apabila disuluh lampu.
Katanya, siasatan juga mendapati taska berkenaan tidak berlesen dan dalam proses permohonan.
Mengulas lanjut mengenainya, Anfaal berkata, walaupun dari sudut penguatkuasaan ia berada di bawah JKM namun kerajaan negeri akan mengesan agensi terbabit serta memantau perkembangan insiden tersebut.
"Pendekatan kita bukan secara menghukum sebaliknya mengambil pendekatan mendekati operator dan pengasuh agar mereka dapat mengikuti kursus asas penjagaan pengasuhan kanak kanak.
"Usaha ini disokong jawatankuasa khas ditubuhkan untuk menyelaraskan garis panduan dan syarat baharu pendaftaran, selaras komitmen kerajaan negeri memastikan keselamatan kanak-kanak diutamakan.
"Ini termasuk menyasarkan garis panduan pendaftaran dapat diselaraskan dengan JKM dan pihak berkuasa tempatan agar ia seragam bagi mempercepatkan proses pendaftaran," katanya.
Selain itu, jelasnya, sebanyak RM400,000 diperuntukkan sebagai geran khas untuk menggalakkan pendaftaran taska secara sah dan setiap taska layak boleh memohon geran maksimum sehingga RM5,000.
"Geran pendaftaran ini termasuk kepada operator Pusat Jagaan Warga Emas dan mana mana operator boleh memohon bermula ia dibuka secara rasmi pada 15 Januari ini," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!