Kanada bertindak balas jika Trump laksana tarif dicadangkan
OTTAWA - Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau pada Khamis berkata, kerajaannya bersedia bertindak balas jika Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump melaksanakan tarif yang dicadangkannya, lapor Xinhua memetik laporan berita.
"Kami pasti akan bertindak balas, seperti yang kami lakukan beberapa tahun lalu apabila Presiden Trump mengenakan tarif ke atas keluli dan aluminium.
"Kami bertindak balas dengan mengenakan tarif ke atas produk seperti Heinz ketchup, kad permainan, bourbon, Harley Davidson, dan barangan lain yang memberi kesan kepada pekerja Amerika,” kata Trudeau dalam satu wawancara bersama CNN.
Trudeau menyifatkan Trump sebagai seorang yang sangat mahir dalam rundingan dan menggunakan retorik seperti menjadikan Kanada negeri ke-51 AS untuk mengalihkan perhatian daripada kesan tarif.
"Segala barangan yang dibeli pengguna Amerika dari Kanada secara tiba-tiba akan menjadi jauh lebih mahal dan itu adalah sesuatu yang perlu kita beri perhatian lebih,” kata Trudeau.
Trump telah mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua barangan Kanada yang diimport ke Amerika Syarikat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!