Rindu seorang anak syurga...

Paparan Facebook Natipah Abu menyentuh hati netizen.
Paparan Facebook Natipah Abu menyentuh hati netizen.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tingkah laku seorang anak kurang upaya yang baring di sebelah pusara bapanya bagi melepaskan rindu menyentuh jiwa.

Foto yang tular di media sosial Facebook itu dikongsikan oleh Natipah Abu yang menceritakan kisah Muhammad Nazren Firdaus.

Muhammad Nazren atau mesra dipanggil abang merupakan anak istimewa dan disahkan mengalami autisme iaitu lambat bertutur.

"Betul kata orang...sakitnya merindu kepada yang telah tiada. Tak ada satu ayat pun mampu menggambarkan tentang betapa dalam dan betapa sakitnya rindu itu.

"Luluh hati menatap gambar anakanda Muhammad Nazren Firdaus atau mesra dipanggil abang, seorang anak autisme yang telah kehilangan arwah abah tersayang April lalu," kata Natipah menerusi hantarannya di Facebook.

Naripah berkata, Muhammad Nazren adalah anak kenalannya dan dia mengenalinya sejak kecil lagi.

"Abang anak kenalan rapat Kak Pah. Sangat rapat sekali... sungguh pun abang tak pandai membilang hari tetapi bila tiba hari Jumaat, dia seakan tahu, abang akan jumpa abah.

"Tidak kira apa pun alasannya, setiap Jumaat dia mesti akan jumpa abahnya. Bila sampai di pusara abah, abang akan pegang nisan abah seolah abang sedang pegang tangan abah. Abang akan cakap dengan Abah seolah abang sedang bercakap dengan abah ketika hayat," tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Komen daripada netizen yang rata-rata mendoakan anak autisme itu terus tabah menjalani kehidupan.
Komen daripada netizen yang rata-rata mendoakan anak autisme itu terus tabah menjalani kehidupan.

Natipah berkata, gelagat Muhammad Nazren terbaring di sisi pusara bapanya seperti dia sedang baring di sebelah bapanya membuatkan ramai tersentuh hati.

"Abang akan baring di sisi pusara abah seolah-olah abang sedang baring di sebelah abah sejak lebih 20 tahun lalu. Abang buat seolah-olah Abah ada di depan mata.

"Kak Pah dan semua ahli keluarga sedia maklum... arwah terlalu sayangkan abang. Arwah bimbang sekali tentang masa depan abang tanpa arwah kelak.

"ALLAH itu sebaik perancang, merancang segalanya dengan rahmat dan rahmah. Setelah arwah pergi, alhamdulillah abang baik-baik saja.

"Cuma rindu abang pada abah yang selalu mandikan abang, gosokkan gigi abang, pakaikan abang baju, suapkan abang makan, main dengan abang dan bawa abang ronda-ronda dengan motosikal, hanya ALLAH saja yang maha mengetahui. Doakanlah abang ya," luahnya.

Posting yang mendapat lebih 5,500 tanda suka membuatkan netizen sebak dan mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Ya ALLAH... sebaknya bila tengok gambar ni. Didoakan semoga dipermudahkan urusan abang, semoga sihat, ceria bahagia selalu ya. Semoga sentiasa berada dalam lindungan kasih ALLAH SWT. Amin," kata Uda Salehah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!