Himpunan, Titah Adendum dalih Pas tutup kelemahan - Mujahid
SHAH ALAM - Pas didakwa menjadikan Perhimpunan Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak dan isu Titah Adendum sebagai dalih untuk menutup segala kelemahan parti itu.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ironinya pemimpin-pemimpin Pas yang paling kuat membidas Najib ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meletus sebelum ini.
"Hakikatnya perhimpunan tersebut semata-mata bertujuan untuk meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan.
"Amanah kesal dengan tindakan Pas menyertai Perhimpunan Solidariti Najib yang dijadikan medan memburukkan serta memfitnah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sungguhpun Ketua Polis Negara telah mengarahkan agar perhimpunan itu dibatalkan, Pas tetap meneruskannya demi mencapai matlamat dan kepentingan politik sempit dan bersifat peribadi," katanya pada Jumaat.
Tambah Mujahid, Pas hanya menggunakan prinsip hukum mengikut selera dan jelira rasa politik.
Jelas beliau, mereka seterusnya mahu mencetuskan polemik politik untuk membelasah Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, merelakan dirinya menjadi batu api untuk menggugat kestabilan negara.
"Oleh itu, Pas tidak layak menjadi 'role model' parti yang memperjuangkan Islam, jauh sekali perjuangan Melayu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!