Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan
PUTRAJAYA - Malaysia dan Jepun mencapai kata putus untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama itu bagi meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik Komprehensif.
Beberapa inisiatif telah dibincangkan bersama rakan sejawatnya dari Jepun, Shigeru Ishiba, termasuk penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba Jepun di Malaysia.
Turut dibincangkan, perkongsian antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Waseda serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Japan International Institute of Technology (JII).
"Universiti Keio merupakan sebuah universiti penting dan universiti beliau (tempat Shigeru melanjutkan pelajaran) mempunyai hubungan baik dengan saya.
"Oleh itu, saya memohon kepada Shigeru untuk Universiti Keio turut terlibat dalam beberapa program kami, termasuk dialog peradaban kerana terdapat minat untuk menjalin hubungan antara Islam dan Taoisme,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar bersama Shigeru selepas pertemuan dua hala bersama pemimpin itu di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Shigeru yang memilih Malaysia sebagai negara pertama dilawati selepas menjawat jawatan itu Oktober tahun lalu.
Tambah beliau, ia mencerminkan keseriusan Shigeru terhadap Malaysia dengan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang strategik yang komprehensif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!