Wanita kesunyian sasaran Love Scam - Polis
KUALA LUMPUR - Wanita warga emas direkodkan golongan tertinggi menjadi mangsa sindiket penipuan cinta maya atau 'Love Scam' dalam talian pada tahun lalu.
Individu yang kesunyian adalah sasaran utama kegiatan penipuan ini untuk memanipulasi emosi serta perasaan mangsa bagi mendapatkan manfaat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, statistik merekodkan jumlah kerugian akibat penipuan ini mencatatkan peningkatan daripada RM43.9 juta pada 2023 kepada RM 45.9 juta pada tahun lalu.
Beliau berkata, melalui kajian dijalankan, majoriti mangsa Love Scam adalah wanita.
"Daripada 770 kes yang dicatatkan pada tahun 2024, sejumlah 75.6 peratus atau 582 mangsa adalah wanita manakala bakinya sebanyak 118 atau 15.3 peratus adalah lelaki.
"Trend sama turut direkodkan pada tahun 2023 yang mana 79.6 peratus atau 744 mangsa adalah wanita dan bakinya 191 mangsa (20.4 peratus) adalah lelaki," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
Katanya, dari segi pecahan umur, individu warga emas paling ramai menjadi mangsa.
"Statistik merekodkan golongan berumur 61 tahun ke atas paling ramai menjadi mangsa iaitu 173 individu, diikuti mereka yang berumur 41 hingga 50 tahun (158) dan 31 hingga 40 (147).
"Angka ini diikuti golongan berumur 51 hingga 60 sebanyak 140 individu, 21 hingga 30 (129), dan 15 hingga 20 (23)," katanya.
Menurutnya, analisis turut mendapati aplikasi yang sering digunakan oleh penjenayah untuk mencari mangsa adalah Facebook dan WhatsApp.
"Sejumlah 335 kes Love Scam yang dilaporkan pada tahun 2024 adalah bermula di Facebook manakala 299 kes bermula di WhatsApp.
"Trend yang sama dicatatkan tahun 2023 apabila 370 kes bermula di Facebook dan 332 kes bermula di WhatsApp," katanya.
Ujarnya, Love Scam adalah kategori penipuan yang dilakukan oleh individu atau kumpulan dengan memanipulasi perasaan mangsa untuk mendapatkan manfaat khususnya dari sudut kewangan.
"Taktik digunakan sindiket penipuan semakin kompleks dan pelbagai membuatkan ramai mangsa terjebak dalam perangkap mereka tanpa disedari terutama melibatkan mangsa keseorangan serta memerlukan teman secara maya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!