Bayi perlu RM130,000 jalani pembedahan jantung

Nur Widad dilahirkan secara normal namun disahkan menghidap sindrom heterotaxy selepas degupan jantungnya terlalu laju ketika berusia seminggu.
Nur Widad dilahirkan secara normal namun disahkan menghidap sindrom heterotaxy selepas degupan jantungnya terlalu laju ketika berusia seminggu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang bayi perempuan berusia setahun yang menghidap sindrom heterotaxy dan masalah jantung kongenital, Nur Widad Jamadin memerlukan bantuan sebanyak RM130,000 bagi menjalani pembedahan jantung.

Sindrom heterotaxy merupakan keadaan di mana jantung dan organ-organ lain terletak pada tempat tidak sepatutnya iaitu di antara dada dan perut.

Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Nur Widad juga disahkan tidak mempunyai limpa menyebabkan dia mudah dijangkiti kuman.

Menurutnya, nyawa bayi dari Langkawi, Kedah itu akan terancam sekiranya pembedahan tidak dilaksanakan.

"Nur Widad ketika ini terpaksa bergantung pada alat bantuan oksigen di hospital berikutan masalah jantung dan juga jangkitan kuman.

“Doktor memaklumkan, risiko pembedahan adalah tinggi antara 10 hingga 20 peratus, namun jika tidak dilakukan, komplikasi seperti paru-paru berair, jangkitan bakteria atau kematian boleh berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah beliau, doktor menyarankan supaya Nur Widad menjalani tiga tahap pembedahan dalam usaha memperbaiki keadaan jantungnya melalui pembedahan pertama dengan segera.

"Nur Widad dilahirkan secara normal namun disahkan menghidap sindrom heterotaxy selepas degupan jantungnya terlalu laju ketika berusia seminggu.

Artikel Berkaitan:

“Selain ketiadaan limpa, dia juga mengalami pelbagai kecacatan jantung kongenital yang serius, termasuk ‘single ventricle’, ‘ hypoplastic left ventricle’, ‘atrioventricular septal defect’ (AVSD), ‘transposition of great arteries’ dan ‘total anomalous pulmonary venous return’ (TAPVD),” katanya.

Menurut beliau, pembedahan hanya dapat dilakukan dengan bantuan dana orang ramai kerana keluarganya kurang berkemampuan.

“Keluarga Nur Widad telah tampil ke pejabat kami baru-baru ini bagi memohon bantuan sebelum kutipan dana sebanyak RM130,000 diluluskan.

“Bapanya, Jamadin Ani, 44, bekerja sebagai penjual daging lembu dengan pendapatan bulanan kira-kira RM1,700 manakala ibu, Norshida Zulkeple Amin, 39, tidak bekerja," ujarnya.

Tambahnya lagi, pasangan itu juga mempunyai tiga lagi anak berusia 15 tahun dan pasangan kembar berusia 10 tahun.

"Orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada Nur Widad boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun 3201428817) atau layari onehopecharity.org.

"Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan, orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline iaitu 04-539 9212/016-4192 192/019-2322 192/018-911 4192," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!