Polis buru individu terlibat pindah milik tanah secara haram

Ramli (tengah) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
Ramli (tengah) ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Jangan bersekongkol dengan sindiket, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak sekiranya ada penglibatan 'orang dalam' dalam kes ini."

Itu amaran Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkaitan kemungkinan penglibatan sindiket serta orang dalam berkaitan kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di sebuah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) di Selangor.

Ramli berkata, pihaknya percaya kegiatan ini dilakukan secara bersindiket dan mempunyai rangkaian tertentu.

"Kegiatan seperti ini melibatkan rangkaian yang besar dan bukannya sekadar orang luar, namun saya percaya ia turut sama didalangi orang dalam.

"Saya tidak katakan semua tapi mana-mana sahaja ada individu seperti ini yang merosakkan sesebuah agensi, dan saya beri amaran jangan disebabkan tamakkan wang ringgit, sanggup lakukan perkara yang menyalahi undang-undang dan sanggup bekerjasama dengan sindiket," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman pada Jumaat.

Katanya, pihaknya sedang mengesan beberapa individu dipercayai terlibat termasuk mereka yang bersekongkol memindahkan nama pemilik tanah.

"Proses pertukaran nama ini sangat rumit, ia tidak akan berlaku sewenang-wenangnya, dan mereka ini dipercayai diupah mengeksploitasi sistem dengan memadam serta menghilangkan rekod-rekod berkaitan pindah milik tanah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembabitan individu lain dalam kegiatan jenayah ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kegiatan pindah milik tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta terbongkar susulan tangkapan 17 individu sejak sejak September lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!