Pelayan restoran maut, remaja lelaki cedera parah motosikal bertembung
KUANTAN - Seorang pelayan restoran maut manakala remaja lelaki cedera parah selepas motosikal ditunggangi bertembung berhampiran Pasaraya TMG Tanjung Pasir di sini pada malam Khamis.
Mangsa maut, Nur Aiesyah Mohd Norawie, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kejadian sekitar jam 11 malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa dari arah KotaSAS menghala ke Kampung Padang manakala motosikal ditunggang remaja lelaki itu dari arah bertentangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba motosikal ditunggang remaja itu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan mangsa.
"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, remaja terbabit pula mengalami kecederaan parah dan kini sedang dirawat di Zon Merah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!