Pemalsuan hak milik tanah: Empat individu direman 6 hari
JOHOR BAHRU - Empat lelaki yang dipercayai terbabit sindiket pemalsuan dokumen geran hak milik tanah yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada malam Khamis, direman selama enam hari.
Permohonan reman bermula Jumaat itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar, Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Mohammad Izham Mohd Aliyas di Mahkamah Majistret Johor Bahru.
Tempoh tahanan reman sehingga Rabu depan itu membolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas semua suspek itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Sebelum itu, semua suspek yang berusia antara 49 hingga 53 tahun itu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM berwarna oren dalam keadaan tangan bergari.
SPRM Johor dalam satu kenyataan media memaklumkan telah menahan empat individu yang juga pengarah dan setiausaha sebuah syarikat swasta di Pejabat SPRM Johor jam 11 malam Khamis.
Difahamkan, tangkapan ke atas keempat-empat individu itu dibuat atas kesalahan pemalsuan dokumen yang mengandungi butir matan palsu dalam urusan permohonan Hakmilik Sambungan (Geran Hilang) Seksyen 168 KTN.
Ini bertujuan untuk mendapatkan Geran Hakmilik yang baru kepada Pejabat Tanah Dan Galian Johor dan urusan pertukaran nama pemilikan di dalam geran yang membabitkan beberapa dokumen.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!