Iran, Jerman laksanakan perjanjian pertukaran tahanan
TEHERAN - Iran hari ini mengesahkan seorang rakyat Jerman yang dihukum penjara tiga tahun di negara itu telah dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran tahanan dengan warga Iran yang yang ditahan di Berlin kerana didakwa melanggar sekatan Amerika Syarikat (AS).
“Langkah itu dibuat selepas Jerman mematuhi syarat tidak mengekstradisi rakyat kami ke AS,” kata jurucakap badan kehakiman, Gholamhossein Esmaili.
Difahamkan, rakyat Jerman yang tidak didedahkan identitinya itu ditahan kerana mengambil gambar dan video tanpa mendapat kebenaran.
Sementara itu, warga Iraq, Ahmad Khalili telah dibebaskan pada malam kelmarin selepas rundingan diplomatik secara intensif dan kerjasama melibatkan badan kehakiman serta perkhidmatan risikan Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
Media tempatan melaporkan Khalili kembali ke Teheran bersama Menteri Luar, Mohammad Javad Zarif yang menyertai persidangan keselamatan di Munich pada minggu lalu.
Disember lalu, Iran memaklumkan ia bersedia melaksanakan lebih banyak perjanjian sama dengan AS selepas saintis di Universiti Teheran, Massoud Soleimani dibebaskan di bawah langkah pertukaran tahanan dengan rakyat AS kelahiran China, Xiyue Wang. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!