[VIDEO] Permohonan pendaftaran taska insiden kematian, kecederaan bayi diteliti semula
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti semula permohonan pendaftaran dua taska di Selangor dan Sarawak yang terbabit dalam insiden kematian serta kecederaan bayi.
Tegas Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan permohonan taska yang kini di bawah tindakan polis.
"Kementerian perlu berhati-hati kerana ia melibatkan kematian bayi dan kita tidak dapat meluluskan dengan mudah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran plak taska berdaftar di sini pada Jumaat.
Media melaporkan seorang bayi berusia empat bulan meninggal dunia di sebuah taska di sekitar Bandar Saujana Putra Jumaat lalu.
Bayi itu dibawa ke klinik oleh pengasuh taska berkenaan dalam keadaan pucat serta didapati kebiruan pada bahagian bibir dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Cyberjaya.
Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Di Sarawak pula, polis menahan pemilik dan dua penjaga taska di Batu Kawa pada Rabu lepas susulan kes bayi berusia lapan bulan cedera dipercayai digigit di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Mohd Irwan Hafiz berkata, ketiga-tiganya kini disiasat di bawah seksyen sama.
Difahamkan, kedua-dua taska berkenaan yang tidak berdaftar dalam proses permohonan kelulusan pendaftaran.
Dalam pada itu, Nancy berkata, sebanyak 94 tindakan penguatkuasaan telah diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) sepanjang tahun lalu.
Jumlah itu terdiri daripada 68 taska yang dibatalkan pendaftaran, 22 dikompaun, dikenakan perintah penguatkuasaan lak (lapan), penutupan sementara (lima) dan satu dikenakan arahan bertulis.
"Kami di kementerian gelisah dan berharap perkara ini tidak terjadi namun masih juga berlaku," katanya.
Sementara itu, beliau turut menasihati ibu bapa agar memilih taska berdaftar bagi menjamin keselamatan anak mereka.
Jelas beliau, arahan yang mewajibkan pengusaha taska mempamerkan plak taska berdaftar adalah salah usaha kementerian untuk membantu ibu bapa mendapatkan khidmat jagaan kanak-kanak yang selamat.
"Adalah amat penting untuk ibu bapa mengetahui status taska kerana proses untuk mendapatkan kelulusan pendaftaran memerlukan pengusaha mematuhi peraturan ketat.
"Kita tidaklah jamin tidak berlaku apa- apa, jika ada sekali pun mungkin ia disebabkan kemalangan yang tidak diingini.
"Cuma dengan adanya plak taska berdaftar ini, maka ia menjadi suatu keperluan khusus yang paling asas untuk ibu bapa menghantar anak mereka," ujar Nancy sambil menambah terdapat 3,198 taska telah berdaftar dengan kementerian itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!