Titah Adendum: KJ bidas tindakan Kabinet
SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membidas tindakan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang seolah-olah tidak mengetahui akan kewujudan Titah Adendum melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sehubungan itu, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa untuk memberi penjelasan mengenai hal berkenaan.
“Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha sebab dia duduk dalam Lembaga Pengampunan walaupun Titah Adendum ini di luar daripada Lembaga Pengampunan mana mungkin dia tidak diberitahu bahawa titah itu dihantar kepada Peguam Negara (AG).
“Pun begitu, saya tabik kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution... walaupun dulu dia kata khabar angin (Titah Adendum sekadar khabar angin). Sekurang-kurangnya dia berani tampil memberi kenyataan," katanya menerusi siaran podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
Pada masa sama Khairy mendakwa seorang menteri UMNO telah bersubahat menyembunyikan Titah Adendum.
Beliau berkata, mustahil dalam isu tersebut AG tidak memaklumkan hal itu kepada menteri yang terlibat.
“Saya percaya AG... mesti memaklumkan kepada menteri yang bertanggungjawab.. ini menteri yang kena jawab kenapa bersubahat menyorokkan Titah Adendum," katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada Isnin memberi kebenaran kepada Najib bagi memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan bekas Ahli Parlimen Pekan itu untuk mendapatkan kebenaran itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!