Kes bunuh Xin Yuan: Salah seorang suspek jadi saksi pendakwaan
KAJANG - Salah seorang suspek kes berkaitan mayat remaja perempuan yang ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting, 28 Disember lalu dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek terbabit sebelum ini ditahan pada 30 Disember lalu.
"Saksi yang dibebaskan merupakan individu berumur 51 tahun manakala dua lagi suspek masing-masing berumur 16 dan 20 tahun diberikan jaminan dengan diikat bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah.
"Kertas siasatan berkaitan kes ini telah dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya Selangor dan menerima arahan lanjut untuk dilengkapkan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, segala tindakan dijalankan dengan teliti mengikut proses undang-undang bagi memastikan keadilan terjamin.
"Kertas siasatan akan dirujuk semula setelah arahan yang berkaitan diambil tindakan selanjutnya," katanya.
Sebelum ini, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan pada 30 Disember lalu serta direman selama enam hari.
Pada Jumaat, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan adalah antara motif yang disiasat polis ketika ini berkaitan pembunuhan Xin Yuan, 15.
Mayat Xin Yuan, ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting pada 28 Disember lalu, iaitu lapan hari selepas laporan kehilangannya dibuat pada 20 Disember lalu di Kajang.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang, Banting pada 30 Disember lalu.
Remaja itu hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada jam 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!