[VIDEO] Negara tak akan merudum jika tolong rakyat miskin - Anwar

A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa amalan penyelewengan, rasuah dan hasad dengki menjadi punca kepada kejatuhan negara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pemberian upah tinggi atau gaji progresif kepada rakyat merupakan salah satu usaha beliau untuk membantu rakyat secara keseluruhan.

"Saya yakin tidak ada negara dalam dunia dari zaman purbakala, pentadbiran Raja-Raja dan Maharaja yang merudum dan runtuh kerana membantu rakyat miskin.

"Yang ada (keruntuhan) sebab gelojoh dan hasad dengki, menindas dan merompak serta tamak haloba. Ini yang menyebabkan negara jatuh," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), pada Jumaat.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, mantan pemimpin belia, aktivis belia dan rakan strategik MBM.

Persidangan MPAT MBM berlangsung bermula 9 hingga 11 Januari dengan kehadiran 399 orang perwakilan yang terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kerja, Dewan Tertinggi dan Badan-badan Gabungan MBM dari seluruh negara.

Anwar tiba pada Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar tiba pada Perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia Ke-73 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Jumaat. Foto Bernama

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pihak yang mencuba untuk membangunkan isu remeh berkaitan usaha membanteras penyelewengan sepatutnya memberi tumpuan kepada masalah rakyat yang kebanyakannya masih berada dalam kelompok kemiskinan.

Artikel Berkaitan:

"Tumpu isu-isu ini, rakyat yang merempat masih banyak. Mutu pendidikan semuanya masih belum selesai, anak-anak di desa dan pedalaman belum mendapat pembelaan.

"Jangan sibuk dengan isu remeh pertahankan penyelewengan. Banyak suara atas nama Melayu dan Islam pertahankan rasuah. Ada yang marah saya, katanya dendam. Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat," tegas beliau.

Tambah Anwar, MBM perlu mengorak langkah dalam menyelamatkan negara menerusi usaha membanteras penyelewengan dan ketirisan.

Ujarnya, sepanjang dua tahun pemerintahan Kerajaan Madani belum ada kes skandal membabitkan skandal menteri atau pimpinan di bawahnya mencuri kontrak.

"Izinkan dan tekad untuk membawa perubahan lawan dari sudut penyelewengan dan ketirisan. Saya betul-betul usaha, adakah saya berjaya sepenuhnya? Tidak, tetapi satu permulaan yang baik.

"Dua tahun saya jadi PM, tidak ada skandal menteri atau pimpinan yang mencuri kontrak. Semua keputusan melalui proses yang ketat.

"Jadi saudara, saya mohon saudara faham dan sampaikan mesej ini bahawa negara ini perlu diselamatkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!